Pages

Ads 468x60px

Tuesday, February 26, 2013

MA’RUF CLUB IIUM & DAKWAH : DALAM LIPATAN SEJARAH


 

“Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik”
Surah Ali-Imran :110


Hari ini hampir 15 tahun Ma’ruf Club berada di gelanggang dakwah kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Pelbagai cabaran dan kesusahan yang dihadapi sepanjang tempoh keremajaan ini, tidak kurang juga kejayaan-kejayaan yang dikecapi menghiasi sejarah panjang Ma’ruf Club (MC).

MC bermula dengan sebuah unit dengan nama Ma’ruf Unit  yang  berada dibawah Spiritual & Islamization (SI) Student’s Representative Council (SRC) iaitu pada tahun 1999. Setahun kemudian nama Ma’ruf Unit bertukar kepada Ma’ruf Group. Akhirnya pada bulan Julai 2003, Ma’ruf Group dinaiktaraf menjadi Ma’ruf Club sehinggalah sepertimana yang ada pada hari ini.

MC ditubuhkan dengan misi untuk menyampaikan dakwah Islamiyyah kepada semua masyarakat kampus dengan menjunjung prinsip Islamization & Integration dalam setiap program dan gerak kerjanya. MC pernah mendapat pengikitirafan daripada STADD pada tahun 2003 sebagai status kelab terbaik bersempena dengan “Society Day”.

Kepelbagaian Bentuk Dakwah Mendekati Masyarakat Kampus

Pelbagai pendekatan yang digunakan oleh MC bagi mendekati masyarakat kampus yang mempunyai latar belakang yang berbeza. MC seringkali dilihat sebagai sebuah kelab untuk ‘orang baik-baik sahaja’, kelab untuk ‘muslimat tudung labuh sahaja’ dan pelbagai lagi tafsiran-tafsiran yang ditujukan kepada MC menjadikan MC cukup ditakuti oleh sebahagian masyarakat kampus. Hakikatnya, tafsiran-tafsiran itu tidak ada bagi MC malah MC menegaskan bahawasanya kelab yang berlatarbelakang dakwah (Dakwah Based Society) ini menerima sesiapa sahaja yang berminat mendekati kebaikan dan kebenaran, walau siapapun mereka.

MC cuba sedaya upaya merapatkan jurang yang jauh demi memastikan penyampaian dakwah Islamiyyah itu dapat diterima dengan baik dengan menghilangkan segala bentuk persepsi-perspesi yang dilemparkan kepadanya. Pendekatan Down to Earth (program bertemu muka dari bilik ke bilik) yang dilihat antara pendekatan yang sangat memberi kesan dalam mendekati golongan mad’u.

MC meneruskan program-program berbentuk ilmiah yang diadakan pada setiap semester antaranya kuliah mingguan Riyadhus Salihin, kuliah mingguan Sirah dan pengisian ringkas selepas solat jumaat. Di samping itu, MC juga menganjurkan program “2012 : Will the World Shut Down” dan “The Facts Behind the Killing of Osama Ben Laden” yang menyentuh isu-isu global umat Islam dan telah mendapat sambutan yang luar biasa dikalangan masyarakat kampus. Begitu juga kuliah dari penceramah terkenal tanahair, Ust Azhar Idrus yang mempunyai daya tarikan kepada anak muda hari ini.

McBall, McRiderz dan SWEET yang catchy dan osem

MC tampil dengan pendekatan yang dilihat lebih mesra massa dengan memperkenalkan 3 team yang mempunyai golongan sasaran masing-masing. Kehadiran McBall yang khusus untuk peminat sukan nombor satu negara iaitulah bola sepak, McRiderz yang khusus untuk peminat sukan permotoran dan SWEET team yang khusus untuk golongan sister di UIA, memberikan suatu impak yang besar kepada MC selama bertapak di bumi UIAM ini.

Strategi ini dilihat lebih membumi dan dapat diterima dengan baik oleh massa. Mungkin ramai yang tidak terfikir bagaimana mungkin sebuah kelab yang islamik boleh mempunyai cabang-cabang sebegini. MC sebenarnya membuktikan kehadirannya bukan semata-mata untuk golongan ‘agamawan’  tetapi juga terbuka untuk golongan yang cenderung kepada aktiviti luar seperti sukan dan permotoran.

Penubuhan 3 team ini sedikit sebanyak meluaskan pengaruh dakwah MC kepada masyarakat kampus. MC meyakini mencari titik persamaan merupakan langkah asas dalam mendekati dan meraikan kepelbagaian latar belakang masyarakat kampus. Kemudian barulah Islam dapat disampaikan malah dapat diterima dengan baik oleh masyarakat kampus.

International Students & MC 

International students merangkumi sebahagian besar daripada komuniti UIAM. Mereka datang dari pelbagai negara yang mempunyai culture dan citarasa yang berbeza daripada masyarakat tempatan. Kehadiran mereka sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada mahasiswa tempatan untuk mengetahui selok belok kepelbagaian tradisi negara yang ada ini.

MC melaksanakan beberapa program untuk menarik kelompok international students antaranya program “Ma’ruf Club Gala Night” yang diadakan penghujung semester lepas. Program ini dianjurkan dengan matlamat menarik seramai mungkin kelompok international students kepada MC di samping menjelaskan isu-isu semasa umat Islam terutamanya di Palestine, Syria dan Rohingnya.

MC mesti lebih bersifat universal dalam program-programnya supaya kelompok international students dapat turut serta dalam program tersebut. Begitu juga program-program collaboration dengan international students’ society perlu diperbanyak supaya kelompok itu tidak terus dipinggirkan daripada sasaran dakwah MC. Ini juga sesuai dengan keberadaan MC berada di sebuah universiti yang bersifat antarabangsa.

Kepimpinan & Masa Depan MC

MC di bawah pimpinan Al-Hafiz Ahmad Redzuan akan terus berdiri teguh meluncurkan risalah-risalah Islam ke tengah masyarakat kampus UIAM. Sejarah panjang MC yang berliku-liku menjadi bekalan utama untuk MC menghadapi masa depan yang kian mencabar. Cabaran utama bagi MC sudah pasti menghadapi serangan pemikiran atau “ghazwatul fikr” yang sekarang melanda umat Islam. Pertembungan war of ideas sangat memerlukan kepada kefahaman yang mendalam di samping ketelitian yang tinggi untuk menghadapinya. Inilah cabaran besar MC dalam menyambung tugas para Nabi dan Rasul.




Thursday, December 13, 2012

TURKI : LEMBARAN SEJARAH KEBANGKITAN ISLAM



Turki merupakan sebuah negara yang terletak di antara benua Eropah dan benua Asia. Negara republik ini mempunyai susur galur sejarah yang panjang dan sangat penting untuk umat Islam. Apabila runtuhnya kerajaan Abbasiyyah di Kota Baghdad yang menghadapi tentangan tentera Tartar dan Mongol yang kejam, khilafah bertukar tangan ke Turki Uthmaniyyah.

Turki Uthmaniyyah mencapai zaman kegemilangannya di bawah pemerintahan seorang anak muda bernama Sultan Muhammad Al-Fateh (Sultan Mehmed 2). Beliau telah merealisasi sabda Baginda Nabi SAW :

“Akan dibuka Kota Konstantinople ,sebaik-baik ketua, ketuanya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya”

Kota Konstantinople merupakan sebuah kota yang memiliki kubu yang paling ampuh. Selepas hampir 11 kali percubaan untuk menawan kota tersebut akhirnya Sultan Muhammad Al-Fateh bersama 250ribu tenteranya berjaya menembusi kubu kuat kota ini lalu menawannya.

Pengaruh Kerajaan Turki Uthmaniyyah sangat meluas malah mempunyai hubungkait dengan Tanah Melayu dan Kerajaan Acheh. Kerajaan Turki Uthmaniyyah pernah membekalkan meriam kepada Kerajaan Acheh dalam menghadapi serangan penjajah Portugis suatu ketika dahulu. Di Tanah Melayu pula, bendera Khilafah Uthmaniyyah berkibar ketika menghadapi tentangan penjajah British di Terengganu. Ini memberi gambaran pengaruh Khilafah Uthmaniyyah terhadap Tanah Melayu dan Acheh.

Kebangkitan nasionalis negara-negara Arab adalah merupakan salah satu punca runtuhnya Khilafah Islamiyyah yang terkenal dengan nama “kebangkitan Arab yang besar”(Saurah Arab Akbar). Ini disusuli dengan pengaruh golongan muda yang diberi nama The Young Turk diketuai Mustafa Kamal melalui suatu perancangan tersusun dengan British untuk menjatuhkan Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Sejarah lampau Turki mempunyai keunikannya yang tersendiri dalam melihat jatuh bangun kekuasaan Islam di atas muka bumi. Hari ini, AK Parti (hizbul ‘adalah wattanmiyyah-AKP) berada pada landasan terbaik dalam mengembalikan semula kegemilangan islam yang telah hilang suatu ketika dahulu. Tugas ini dilihat mencabar memandangkan pengaruh Kamalisme (sekularis ekstermist) yang masih berakar kuat di Turki ditambah pula dengan kedudukan Turki sebagai negara republik (pihak tentera yang menjadi penjaga setia kepada perlembagaan Turki) yang tidak membenarkan sama sekali Islam untuk ‘tumbuh’ semula di Turki.

Pengajaran 1 : Kemenangan Hari Ini Hanya Memetik Buah Yang Ditanam Oleh Orang Yang Terdahulu.

Kemenangan AKP dalam pilihanraya Presiden Turki bukanlah semata-mata usaha dan strategi yang digunakan AKP malah ia juga datang dari jalan jihad yang panjang dan berliku yang dihadapi oleh pejuang-pejuang Islam di Turki sebelum daripada itu.


Antara tokoh yang banyak menyumbang kepada kebangkitan Islam di era kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah ialah Syeikh Badi’uzzaman Said An-Nursi yang mempelopori  Gerakan Nursiyyah. Gerakan Nursiyyah mengambil pendekatan Suffiyyah dalam mendekati masyarakat. Syeikh Badi’uzzaman telah menulis lebih dari 100 risalah untuk diluncurkan ketengah masyarakat dalam menyuntik kembali semangat pejuang Islam bangkit membina tapak Khilafah Islamiyyah semula.

Bermula dari situlah Islam mula berkembang dan berkembang sehinggalah seorang cerdik pandai yang bernama Almarhum Necmettin Erbakan menubuhkan Parti Salamah. Perkembangan Islam di Turki mengalami cabaran dan rintangan yang pelbagai. Ada dikalangan mereka yang terbunuh,ada juga yang dipenjara dan ramai dikalangan mereka yang diseksa. Namun, janji Allah SWT yang akan menyempurnakan cahayaNya atas muka bumi meskipun mereka (musuh-musuh Allah) cuba untuk memadamnya.

Di Malaysia, kemenangan yang kita peroleh hari ini hanyalah memetik buah-buah yang ditanam oleh nenek moyang kita suatu ketika dahulu, bukannya semua hasil usaha kita sahaja. Ini merupakan perkara yang sangat penting untuk menjadikan kita menilai kemenangan hari ini (dan akan datang) dengan nilaian yang mahal kerana kemenangan hari ini adalah juga dari darah-darah pejuang-pejuang islam di Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Keikhlasan dan semangat jihad mereka ‘menanam’ benih perjuangan kepada masyarakat telah menghasilkan ‘buah’ yang mereka sendiri tidak sempat untuk merasainya pada hari ini.

Pengajaran 2 : Turki Dimuliakan Kerana Islam Bukan Kerana Bangsanya

Saidina Umar RA pernah menyebut ketika tentera Islam berjaya menguasai Baitul Maqdis :

“Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah kerana Islam. Apabila kita meninggalkan Islam maka kita akan ditimpakan dengan kehinaan.”

Bangsa Turki hari ini mula mendapat perhatian dunia setelah AKP mencapai kemenangan dalam pilihanraya presiden . Kemenangan ini sekaligus memberi ancaman kepada musuh –musuh Islam yang mula melihat Turki menjadi watak utama membela umat Islam khususnya di Palestin, Rohingnya dan wilayah-wilayah umat Islam yang lain.

AKP mencapai kemenangan hari ini kerana mereka berpegang kepada Islam. Sedangkan jika dibandingkan bangsa Arab dengan bangsa Turki, maka kita akan mendapati bahawasanya bangsa Arab jauh lebih hebat berbanding bangsa Turki. Tetapi bangsa Arab yang hebat itu meninggalkan Islam sebagai pegangan mereka malah mereka pula yang menjadi sekutu utama kepada Israel dan Amerika Syarikat menjadikan mereka bangsa yang hina pada hari ini.

Mulia atau hina sesuatu bangsa adalah dengan Islam. Benarlah kata Saidina Umar RA. Bangsa Arab Quraisy semasa Nabi SAW hidup merupakan bangsa yang tinggi akhlaknya, bertamadun dan mulia kerana adanya Islam yang menjadi ‘pakaian’ mereka.

Bangsa Melayu, Cina dan India yang ada di negara kita hari ini juga akan menjadi mulia dengan syarat mereka berpegang dengan Islam. Islam datang dengan nilai-nilai aqidah yang satu dan juga dengan nilai akhlak yang terpuji. Perjuangan bangsa bukanlah dilarang cuma mesti berpada –pada dan tidak menjadi matlamat perjuangan.

Pengajaran 3 : Pentingnya Pembinaan Fikrah Sebagai Tapak Semaian Perjuangan Islam

Adnan Menderes naik menggantikan Mustafa Kamal Attaturk sebagai presiden Turki kedua pasca kejatuhan Khilafah Islamiyyah. Adnan Menderes memiliki sikap yang sedikit terbuka jika dibandingkan dengan Mustafa Kamal. Akibat dari desakan kumpulan-kumpulan pro-Islam di Turki, Adnan Menderes membuka sedikit ruang untuk kumpulan pro-Islam bernafas di Turki dengan membenarkan penubuhan madrasah-madrasah dan maahad –maahad tahfiz di Turki.

Ini merupakan permulaan yang sangat penting bagi sesebuah gerakan Islam itu bertapak iaitu menerapkan fikrah Islamiyyah ke dalam diri setiap ahlinya. Perkembangan Islam di Turki mempunyai kait rapat dengan penubuhan madrasah-madrasah yang menjadi medan utama kepada proses pentarbiyyah fikriyyah kepada masyarakat Islam. Seorang ulama pernah memberitahu antara negara yang akan menjadi pengkalan kepada kebangkitan Islam adalah Turki dan Pakistan selepas melihat kedua negara ini menjadikan masjid dan madrasah sebagai pusat pengajian ilmu Islam. Ternyata hari ini Islam berjaya menguasai Turki di samping negara Pakistan yang bangun menjadi salah sebuah negara Islam yang menjadi ancaman kepada musuh-musuh Islam.

Melihat sepintas lalu perkembangan maahad-maahad tahfiz sains yang semakin berkembang terutamanya di Negeri Cik Siti Wan Kembang menggambarkan masa depan Islam yang kian gemilang. Program-program ilmu, kuliah dan ceramah merupakan asas penting dalam pembinaan kefahaman terhadap Islam itu sendiri.

Dengan betulnya kefahaman terhadap Islam maka fasa seterusnya adalah membentuk fikrah perjuangan dalam pemikiran pejuang Islam. Kemudian ia disusuli dengan penggabungan diri dalam harakah islamiyyah (gerakan islam) yang akhirnya bermatlamat untuk menubuhkan daulah islamiyyah. Fasa penanaman fikrah ini perlu dijaga dengan sebaik mungkin supaya tidak ada jarum luar yang cuba untuk meracuninya. Serangan pemikiran yang melanda umat islam hari ini merupakan suatu bentuk serangan baru yang boleh merosakkan umat islam dari dalam.
………………………………..…………

Turki mempunyai sejarah panjang terhadap kebangkitan Islam dan begitu juga pernah mengalami fasa kejatuhan Islam. Kemenangan Islam melalui AKP sedikit sebanyak memberi nafas baru kepada umat Islam untuk terus memperjuangkan Islam. Dalam keadaan negara yang mengalami asakan doktrinisasi sekularisma yang hebat, umat islam Turki terus kental mendokong Islam kembali kepada masyarakat. Sejarah istimewa ini yang pastinya sangat bernilai dan perlu dijadikan iktibar kepada pejuang-pejuang Islam seluruh dunia.



Sunday, September 23, 2012

SAYA PILIH UNTUK MENGUNDI!

Allah SWT telah memberi pesanan sepertimana termaktub dalam Surah At-Talak :2;
“…dan persaksikanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan persaksian itu kerana Allah…”

1. Islam hanyasanya suatu cara hidup yang ideal. Mahu atau tidak, suka atau tidak manusia mesti menerima hakikat bahawasanya agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW ini merupakan agama yang sempurna dalam segala sudut kehidupan manusia.

2. Politik merupakan salah satu cabang yang besar yang ada di dalam Islam. Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang pemimpin Negara Islam Madinah dan mentadbir mengikut acuan Al-Quran dan pimpinan wahyu yang diturunkan kepada Baginda SAW. Malah Nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS dan beberapa nabi AS yang lain  juga dalam masa yang sama adalah merupakan seorang pemimpin kepada kaum masing-masing.

3. Politik dalam Islam mengajarkan kepada manusia untuk tunduk mentauhid dan membesarkan Allah SWT. Walau sehebat mana pun kekuatan akal manusia mencipta dan menundukkan alam ini, hakikatnya segala kekuatan itu milik Allah SWT. Begitu juga ianya amat menekankan konsep keadilan sejagat meskipun kepada kelompok golongan yang kita tidak suka atau tidak sehaluan dengannya. Inilah seruan yang dibawa oleh politik Islam.

“Menegakkan agama dan mentadbir (as-siyasah) dunia dengannya”

4. Adapun hari ini kita berhadapan dengan politik yang sangat jauh dari apa yang diwariskan oleh Nabi SAW. Politik fitnah, jijik, tuduhan palsu, rasuah, ugutan dan manipulasi kuasa mencemari dunia politik hari ini. Kezaliman berleluasa, yang berkuasa menindas yang lemah, duit dan harta benda keduniaan menjadi matlamat sang penguasa sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kuasa. Inilah realiti dunia politik hari ini.

5. Kerana itu konsep pemilihan kepimpinan sangat penting dalam Islam. Pemimpin mestilah dipilih dikalangan mereka yang mendokong Islam secara telus dan ikhlas serta memiliki nilai amanah dan quwwah itu sendiri. Dalam konteks negara kita pada hari ini atau lebih khusus di kampus ini, demokrasi menjadi amalan dalam pemilihan kepimpinan. Seperti mana yang berlaku ketika mana pemilihan Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai khalifah Islam yang pertama menggantikan Nabi Muhammad SAW menggunakan Bai’ah ‘Ammah atau persaksian yang juga disebut sebagai pungutan suara ramai.
Hari ini kita menggunakan sistem e-undi (e-voting) di mana setiap mahasiswa diberi hak untuk mengundi calon-calon pilihan masing-masing untuk dinaikkan sebagai pemimpin bagi sebuah universiti.

6. Memilih seorang pemimpin merupakan suatu kewajipan yang mesti ditunaikan oleh setiap mahasiswa. Pemimpin yang dipilih akan membawa halatuju rakyatnya sama ada lebih dekat dengan Islam atau lebih jauh dari Islam. Mereka juga yang akan memelihara kesucian agama ini atau mungkin mereka juga yang akan merosakkannya, semuanya terletak di atas tangan pemimpin.

7. Oleh itu, menjadi kewajipan kepada kita memberi penyaksian kita dengan membuang undi dan penyaksian yang kita lakukan itu mestilah kerana Allah SWT.

“…dan persaksikanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan persaksian itu kerana Allah…”
(Surah At-Talaq:2)

Pilihlah calon dikalangan mereka yang benar-benar menempati ciri-ciri kepimpinan yang diwariskan oleh Baginda Nabi SAW dan dikalangan mereka yang benar-benar mendokong Islam itu secara menyeluruh. Sesungguhnya persaksian kita itu ada nilainya di sisi Allah SWT.

8. Sudahpasti undi kita itu ada perkiraan dosa dan pahala. Bagaimana mungkin soal undi tidak ada dalam perkiraan dosa dan pahala sedangkan ia juga termasuk dalam amal perbuatan manusia. Sekecil zarah amalan manusia pun ada pertimbangan dosa dan pahala inikan pula mengundi bagi calon-calon untuk diberikan hak menjalankan tugas kepimpinan.

9. Lakukanlah penilaian yang teliti terhadap calon-calon yang bertanding dan turun mengundi memberikan sokongan kepada calon pilihan kita pada Pilihan Raya Kampus pada kali ini. 

Saya memilih untuk mengundi, anda pula bagaimana?

Tuesday, August 14, 2012

HARGA SEBUAH KEMENANGAN !


Bulan Ramadhan adalah bulan yang mendidik hati dan jiwa manusia supaya kembali mentaati Allah SWT. Manusia ditawarkan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda sebagai suatu bentuk tarikan kepada manusia untuk lebih bersemangat melakukan amal ketaatan kepadaNya.

Di samping itu, Bulan Ramadhan juga merupakan bulan kemenangan untuk umat Islam. Beberapa peristiwa besar berlaku dalam bulan ini antaranya Perang Badar, Nuzul Quran dan Perjanjian Hudaibiyyah yang telah memberikan suatu pengajaran berharga kepada Islam dan umatnya. Peristiwa-peristiwa berikut sangat bernilai sehingga Allah SWT menjanjikan syurga, mengampunkan dosa yang telah lalu dan yang akan datang kepada ahli Badar, ahli Bai’at Ar-Ridhwan dan ahli Hijrah (mereka yang sama-sama berhijrah dengan Nabi SAW ke Madinah).

Badar Al-Kubra ; Kemenangan Kesinambungan Penyembahan Allah SWT Atas Muka Bumi

Perang Badar merupakan perang pertama dalam Islam selepas tertubuhnya Negara Islam Madinah. Peristiwa yang menyaksikan para sahabat dalam keadaan kekurangan peralatan perang ditambah dengan jumlah tentera lawan yang jauh lebih ramai jika dibandingkan dengan tentera Islam.

Nabi SAW telah mengangkat tangan dan berdoa dengan lama sehinggakan serban di bahu Baginda SAW jatuh ditiup angin, Baginda SAW hanya membiarkan sahaja. Abu Bakar RA mengambil kembali serban tersebut dan meletakkannya kembali ke bahu Baginda SAW. Nabi SAW berdoa dalam suatu doa yang panjang dan menyebutkan :

“Wahai Tuhan, jika kelompok kecil ini tewas nescaya Engkau tidak akan disembah lagi atas bumi ini”

Pertembungan yang berlaku bukanlah pertembungan kerana merebutkan harta benda  -  golongan munafik berpatah balik apabila diketahuinya tentera Islam ke Badar bukan untuk mengambil harta sebaliknya berperang. Juga bukan pula pertembungan kerana tanah air mahupun pertembungan bangsa - para sahabat berperang dengan ahli keluarga mereka sendiri. Tetapi pertembungan ini adalah pertembungan antara haq dan batil.

Meskipun begitu, dengan segala kekurangan, para sahabat terus melangkah menghunus senjata menumbangkan musuh satu persatu. Jumlah yang sedikit bukan alasan untuk mereka lemah semangat, musuh mereka yang terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat handai juga bukan alasan mereka untuk tidak berperang. Apabila keimanan menguasai jiwa maka nyawa mereka gadaikan untuk perjuangan Islam kerana mereka sedar betapa pentingnya kemenangan untuk Islam atau disyahidkan Allah SWT dan Allah SWT memberikan kemenangan kepada Islam.

Harta benda, keturunan dan tanah air tidak akan selamat selagimana Islam tidak selamat. Hanya Islam yang akan menyelamatkan harta benda, kewangan dan tanah air. Itulah harga sebuah kemenangan!
Nuzul Al-Quran : Kemenangan Menyempurnakan Syariat Islam

Seorang wartawan Jerman ketika mana mengulas mengenai krisis ekonomi yang merudum dikalangan Negara Eropah menyebutkan bahawasanya Ketua Paderi Kristian Katholik, Pop Benedict perlu juga membaca Al-Quran dalam mencari jawapan kepada penyelesaian bukan semata-mata merujuk kepada Kitab Injil dan Taurat.

Saban hari manusia menolak Al-Quran kononnya Al-Quran tidak lagi sesuai diamalkan pada zaman moden ini. Kerajaan menolak Al-Quran kononnya untuk keharmonian kaum. Al-Quran hanya dijadikan bahan untuk dipertandingkan bukan untuk dilaksanakan hukum-hakam di dalamnya. Al-Quran semakin lama semakin dilupakan oleh masyarakat.

Apabila Al-Quran tidak berada di tempat yang sepatutnya maka begitulah kesannya. Al-Quran bukan sahaja untuk soal-soal ibadat dan nikah kahwin tetapi ia juga merangkumi aspek pentadbiran sebuah kerajaan. Syariat Islam tidak mungkin terlaksana jika mereka yang beriman yang benar-benar memahami Al-Quran menjadi pemerintah.

Hanya dengan kemenangan Islam yang dapat mengembalikan Al-Quran kembali ke tempatnya. Itulah harga sebuah kemenangan!
Sulh Hudaibiyyah : Kunci Kepada Kemenangan yang Nyata!

Para sahabat RA tersentak dengan keputusan Rasulullah SAW ; menerima suatu bentuk perjanjian yang jelas berat sebelah. Mereka yang sudah bersedia berpakaian ihram untuk menunaikan umrah di bumi Makkah tiba-tiba terhalang dek perjanjian dengan pihak Quraisy yang mengatakan umrah boleh dilakukan pada tahun hadapan bukan tahun ini.

Saidina Umar RA bangun bertanya ; “Wahai Rasulullah SAW, adakah Tuan Pesuruh Allah?” Rasulullah SAW menjawab ; “Ya”. Beliau bertanya lagi ; “Adakah kita orang Islam?”. Rasulullah SAW menjawab ; “Ya. Kita orang Islam” Saidina Umar RA menyambung ; “Jadi mengapa Tuan terima perjanjian ini?”. Rasulullah SAW menjawab ; “Sebab Allah yang suruh.”

Begitulah lumrah perjuangan Islam, ada perkara yang kita tidak suka tetapi perkara itu baik untuk kita dan ada perkara yang kita suka tetapi perkara itu tidak baik dengan kita. Ketika itu, para sahabat RA yang masih belum memahami apa yang tersirat disebalik perjanjian ini namun atas ketaatan pada perintah Allah mereka akur.

Hikmah Allah SWT akhirnya Nabi SAW dan para sahabat RA dapat menguasai Makkah yang terkenal dengan peristiwa Fathu Makkah (Pembukaan Kota Makkah). Peristiwa yang menyaksikan tidak sampai 10 orang pun mati jika dibandingkan dengan revolusi-revolusi yang pernah berlaku yang telah menyebabkan pertumpahan darah berlaku sehingga berjuta-juta orang.

Malah Rasulullah SAW memberikan keampunan kepada seluruh penduduk Makkah sehingga mereka berbondong-bondong mengucapkan syahadah .Itulah harga sebuah kemenangan!

Hikmah Ramadhan & Kemenangan Islam

Ramadhan memberikan suatu pengiktikbaran yang agung kepada pejuang-pejuang Islam. Peristiwa kemenangan-kemenangan utama yang berlaku dalam Bulan yang Mulia ini sepatutnya meniupkan lagi semangat roh perjuangan untuk sama-sama bekerja memenangkan Islam.

Kita beriman bahawasanya kekuatan yang kita ada bukanlah penyebab kepada kemenangan itu sendiri bahkan kemenangan hanya datang daripada Allah SWT. Hanya Allah SWT yang menentukan sama ada kita kalah atau menang dalam pertempuran dengan musuh-musuhNya.

Walaubagaimanapun di sana ada tahap-tahap yang mesti kita capai dalam memastikan Allah SWT terima dan berikan kemenangan kepada Islam. Contohilah kesungguhan Ahli Badar, mereka sedar kemenangan sangat penting demi kelansungan agama Allah maka mereka berusaha untuk menang dan Allah SWT memberikan kemenangan kepada mereka.

Adakah usaha kita hari ini berbaloi untuk Allah SWT berikan kemenangan kepada kita dalam mana kita sedar hanya kemenangan sahaja yang akan menyelamatkan bumi ini dari tangan-tangan kotor?

Inilah hikmah Ramadhan yang memberi pengajaran kepada pejuang-pejuang agama Allah untuk kembali menghalusi usaha-usaha kita, taqarrub kita kepada Allah SWT dalam mencapai kemenangan yang dijanjikan dan sungguh bernilainya harga sebuah kemenangan!

Wednesday, July 25, 2012

SURAT UNTUK ABI DAN UMMI



Kehadapan abi dan ummi yang dihormati lagi disayangi. Diharap sentiasa berada di dalam rahmat Allah SWT dan sihat sejahtera hendaknya.

Tujuan anakanda menulis warkah ringkas ini adalah untuk membuat suatu permohonan yang penting dari abi dan ummi. Anakanda tidak mendesak abi dan ummi dan tidak juga meminta keputusan drastik cuma cukuplah ianya diluncurkan ke pengetahuan abi dan ummi agar kita sama-sama memahami apa yang sebenarnya tersirat di hati anakanda.

Untuk pengetahuan abi dan ummi, hari ini sudah masuk hampir setahun anakanda dan tunang anakanda di’ikat’. Alhamdulillah setakat tempoh ini, anakanda masih bertahan dengan pilihan anakanda walaupun sebenarnya diri ini tidak seteguh mana untuk menempuh hari depan yang belum pasti. Anakanda panjatkan syukur kepada Ilahi kerana memberi kekuatan ini.

Abi dan ummi yang disayangi,

Warkah ini ikhlas ditulis untuk memohon abi dan ummi mempertimbangkan kembali tentang masa depan anakanda dan tunang anakanda. Sebenarnya jauh di sudut hati anakanda, anakanda ingin menyempurnakan segera hubungan anakanda dengan jalan yang Allah SWT redha. Meskipun anakanda sudah pun bertunang, itu bukan jaminan yang kuat untuk menjaga hubungan anakanda ini. Jalan yang selamat tidak lain tidak bukan hanyalah jalan pernikahan.

Hari ini abi dan ummi pastinya sedar kes-kes jenayah yang semakin hari semakin meruncing dikalangan anak muda terutamanya. Kes buang bayi, kes anak luar nikah, kes zina yang sentiasa menghiasi dada-dada akhbar saban hari. Malah kes-kes ini meningkat dari setahun ke setahun. Jika diteliti kes-kes sebegini selalunya berpunca daripada hubungan sosial lelaki dan perempuan ditambah pula pegangan agama yang tidak kuat menjadikan mereka pasangan demi pasangan  hanyut dalam lautan nafsu dunia.

Mungkin timbul di benak abi dan ummi, ketidaklayakan anakanda untuk ‘mendirikan masjid’ sedang anakanda masih menempuh alam pengajian. Tambahan pula, abi dan ummi pastinya risau tentang fokus akademik anakanda jika anakanda berkahwin. Anakanda memahami kerisauan abi dan ummi ada benarnya cuma anakanda boleh memberi jaminan kepada abi dan ummi tentang akademik anakanda lagipun anakanda hanya tinggal beberapa sem sahaja lagi untuk graduasi.

Ada dikalangan mereka yang boleh ‘score’ dalam akademik selepas berkahwin malah lebih ramai yang menunjukkan peningkatan dalam akademik disebabkan berkahwin. Malangnya fakta ini tidak pula diperbesarkan oleh masyarakat umum dan lebih malang anakandalah mangsanya. Anakanda lebih bermaksud di sini soal akademik adalah soal yang subjektif. Tidak semestinya perkahwinan itu membantutkan pelajaran  seseorang.

Abi dan ummi yang dihormati,

Anakanda hendak bawa abi dan ummi untuk melihat perkahwinan anak muda seperti anakanda dalam perspektif yang lain. Jalan perkahwinan akan mententeramkan hati anakanda disamping dapat me’mejamkan mata’ dari pandangan yang boleh membawa kepada perkara-perkara yang berdosa. Pandangan mata boleh membawa kepada seribu satu dosa. Apabila banyak dosa maka banyaklah titik hitam melekat di hati anakanda. Apabila banyak titik hitam maka gelaplah hati. Apabila gelap hati, maka susahlah anakanda hendak menuntut ilmu. Apabila hati tenteram dan dosa pula kurang maka ilmu-ilmu yang dipelajari akan lebih mudah dihadami.

Abi dan ummi akan bersetuju tentang perkara ini cuma perkahwinan juga adalah soal tanggungjawab bukan soal cinta semata-mata. Anakanda sedar tentang tanggungjawab ini dan cuba untuk memahaminya. Jika diberi keizinan, anakanda akan memberi nafkah kepada isteri anakanda RM50 sebulan sementara anakanda masih belajar. Anakanda adalah salah seorang  pemegang biasiswa dan insyAllah anakanda ada kemampuan untuk menampung isteri anakanda sekadarnya (sementara masih belajar). Adapun sumber kewangan yang lain anakanda masih memerlukan keluarga untuk bantu anakanda seperti biasa.

Adapun untuk tempat tinggal, anakanda memilih untuk tinggal di kolej masing-masing kerana lebih mudah untuk berbincang dengan kawan-kawan disebabkan perbezaan kursus yang diambil.

InsyAllah selepas graduasi dari universiti, anakanda akan bekerja untuk tempoh tertentu dan berhasrat untuk ke Timur Tengah mempelajari ilmu agama. Ini impian dan perancangan anakanda dan bakal isteri anakanda. Bukankah ini juga impian abi dan ummi kepada anakanda suatu ketika dahulu? Menjadi doktor yang juga mapan ilmu agamanya. InsyAllah anakanda turuti dan penuhi impian abi dan ummi.

Sampai di sini sahaja warkah ini berbicara dan anakanda cuma mengharapkan abi dan ummi memahami situasi anakanda dan apa salahnya abi dan ummi pimpin tangan anakanda bersama menuju syurga Allah SWT. Itukan matlamat hidup kita. Lebih baik sakit dalam keredhaan Allah SWT dari bahagia dalam dosa dan murka. Cukuplah warkah ini menjadi tatapan abi dan ummi tentang keinginan suci anakanda. Anakanda tetap akan terima keputusan abi dan ummi dengan rasa hormat insyAllah.

Sekian,terima kasih.

Yang Benar,
Anakandamu.