Pages

Ads 468x60px

Tuesday, March 6, 2012

ANTARA PRINSIP DAN STRATEGI POLITIK



Berada di lapangan politik sememangnya memerlukan kepada ketajaman fikiran dan kekuatan mental dalam menghadapi cabaran arus semasa. Suatu ketika dahulu, musuh-musuh Islam menggunakan kekuatan fizikal dalam berdepan dengan kaum muslimin. Ternyata pendekatan ini tidak memberikan hasil pulangan yang baik kepada mereka (musuh-musuh Islam) kerana kualiti yang ada pada umat Islam ketika itu. Tindakan musuh itu boleh diibaratkan menekan bola ke dalam air,semakin kuat ditekan semakin kuat melawan ke atas.


Hari ini, mereka menggunakan peluru yang lain dalam menguasai umat Islam. Atas nama kebebasan berfikir, kebebasan bersuara, sedikit demi sedikit jarum doktrinisasi itu masuk dan meresap dikalangan anggota harakah. Mereka tidak menggugurkan perkataan Islam tetapi cukup menceraikan sedikit demi sedikit prinsip-prinsip Islam dalam gerak kerja harakiyyah.


Tidak dapat dinafikan, apabila terlibat secara langsung dalam bidang politik, memerlukan kepada perancangan-perancangan yang strategik dalam memastikan matlamat akhir perjuangan tercapai. Namun, hari ini kegagalan sekelompok manusia dalam membezakan antara prinsip dan strategi politik menyebabkan perjalanan politik mereka nampak goyah dan goyang apabila berhadapan dengan musuh.


Prinsip adalah tunjang yang pasti dan mesti menunjangi perjuangan kita. Kita ibaratkan ia sebagai akar yang teguh bagi sebuah pokok. Biarpun di sana ada badai, taufan, hujan, panas dan salji sekalipun, akar ini tetap dengan kekuatannya menunjangi pokok itu. Begitulah prinsip perjuangan, biarpun mereka membenci kita, biarpun kita ditinggalkan keseorangan, kita mesti teguh dengan prinsip Islam yang kita bawa dan tiada tawar menawar dalam soal ini.


Golongan Islam yang sebenar hendaklah mempunyai dasar yang jelas dan tegas, iaitu mentauhidkan Allah dan menyeru manusia ke arah beriman kepadanya. Membersihkan negeri dari sebarang bentuk syirik agar kalimah Allah itu benar-benar Maha Tinggi sehingga terasa kewajipan untuk menegakkannya dalam segala bidang termasuk politik, ekonomi dan lain-lainnya hendaklah berdasarkan Islam. (kitab Islam : Fikrah, Harakah dan Daulah, Tuan Guru Haji Abdul Hadi).

Sebab itu, dalam memahami prinsip perjuangan kita, kita mesti memahami hala tuju perjuangan kita. Keberadaan sebuah gerakan Islam di medan siasah bukan semata-mata berkehendakkan kepada kerajaan dan kuasa tetapi apa yang lebih penting ialah menyeru dan mengajak manusia lain kembali kepada Islam. Inilah yang membezakan kita dengan parti politik lain yang ada di Malaysia. Kita bisa menang dan kita bisa kalah dalam pilihanraya. Itulah lumrah perjuangan. Tetapi gerak kerja mengajak dan menyeru manusia kepada Allah tidak pernah putus.


Parti AK Parti di Turki sehingga hari ini masih gagal menegakkan negara Islam di Turki. Mereka dikatakan telah menandatangani perjanjian dengan pihak tentera Turki untuk tidak melaksanakan syariat Islam apabila menang. Apa perlunya kita bertungkus lumus untuk menang dalam pilihanraya jika kemenangan kita tiada manfaat pun untuk Islam?


Di samping itu, kita juga perlu terbuka dalam persoalan strategi atau pendekatan politik. Politik tidak boleh dilihat dengan bacaan tersuratnya sahaja tetapi dalam masa yang masa perlu dilihat yang tersiratnya. Sebab itu, kadang-kadang kita perlu bijak dalam membaca sepak terajang politik di setiap peringkat, sama di peringkat kampus dan di peringkat nasional.


Namun, keterbukaan ini perlu diperhalusi dan dipertimbangkan dari semua sudut. Antaranya ialah kita mesti memastikan tidak ada percanggahan dalam strategi politik dengan Al-Quran dan As-Sunnah, bercanggah dengan syariat Islam, betul dengan fiqh siyasi, maqasid syariah, qawa’id fiqhiyyah dan lain-lain. Sifat tergopoh-gapah dan tergesa-gesa menjadikan pertimbangan siasah tidak tepat dan bercanggah dengan manhaj Islam yang sebenar. Strategi politik yang bijak adalah strategi yang menepati matlamat perjuangan di samping memberi manfaat yang besar kepada Islam dan gerakan itu sendiri.


Syed Qutb pernah menyebut ;

“Sesungguhnya manusia yang paling bersemangat, berkobar-kobar dan kurang pertimbangan adakalanya merekalah orang paling pengecut, tewas dan tumpas apabila berhadapan dengan suatu yang serius dan realiti. Bahkan kadang-kadang ia menjadi sesuatu ketetapan (kaedah) kerana melonjak kehadapan, kurang pertimbangan dan terlalu bersemangat biasanya berpunca dari tidak tahu mengukur dan menilai sesuatu tanggungjawab harakah, bukan lantaran sifat berani, cekal dan keazaman yang tinggi.

Sepertimana juga ia adalah dorongan rasa kurang cekal dan tidak begitu berupaya untuk memikul kesempitan, kesakitan dan ketewasan. Ia menyebabkan mereka bergerak untuk melibatkan diri di dalam harakah, pertahanan dan kemenangan dengan apa cara sekali pun tanpa menghiraukan bebanan tugas haraki, daya ketahanan dan bentuk kemenangan. Apabila mereka berhadapan dengan cabaran ini, mereka mendapatinya ia sangat berat berbanding kemampuan mereka, lebih sukar berbanding apa yang mereka gambarkan dan mereka menjadi barisan yang pertama tewas dan tumpas.

Manakala mereka yang dapat mengawal diri, memikul kesempitan dan kesakitan untuk beberapa ketika, membuat persiapan, kenal akan hakikat bebanan harakah dan tahu menilai kemampuan diri; mereka sabar, tidak gelojoh dan bersiap sedia. Mereka yang terlalu bersemangat dan beremosi pula, menganggap itu semua suatu kelemahan dan mereka tidak ambil peduli terhadap sikap bersiap sedia dan pertimbangan terhadap segenap perkara. Pada peperangan sebenar baru jelas terbukti kumpulan manakah yang paling cekal dan yang paling berpandangan jauh.”

0 comments:

Post a Comment