Pages

Ads 468x60px

Sunday, September 23, 2012

SAYA PILIH UNTUK MENGUNDI!

Allah SWT telah memberi pesanan sepertimana termaktub dalam Surah At-Talak :2;
“…dan persaksikanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan persaksian itu kerana Allah…”

1. Islam hanyasanya suatu cara hidup yang ideal. Mahu atau tidak, suka atau tidak manusia mesti menerima hakikat bahawasanya agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW ini merupakan agama yang sempurna dalam segala sudut kehidupan manusia.

2. Politik merupakan salah satu cabang yang besar yang ada di dalam Islam. Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang pemimpin Negara Islam Madinah dan mentadbir mengikut acuan Al-Quran dan pimpinan wahyu yang diturunkan kepada Baginda SAW. Malah Nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS dan beberapa nabi AS yang lain  juga dalam masa yang sama adalah merupakan seorang pemimpin kepada kaum masing-masing.

3. Politik dalam Islam mengajarkan kepada manusia untuk tunduk mentauhid dan membesarkan Allah SWT. Walau sehebat mana pun kekuatan akal manusia mencipta dan menundukkan alam ini, hakikatnya segala kekuatan itu milik Allah SWT. Begitu juga ianya amat menekankan konsep keadilan sejagat meskipun kepada kelompok golongan yang kita tidak suka atau tidak sehaluan dengannya. Inilah seruan yang dibawa oleh politik Islam.

“Menegakkan agama dan mentadbir (as-siyasah) dunia dengannya”

4. Adapun hari ini kita berhadapan dengan politik yang sangat jauh dari apa yang diwariskan oleh Nabi SAW. Politik fitnah, jijik, tuduhan palsu, rasuah, ugutan dan manipulasi kuasa mencemari dunia politik hari ini. Kezaliman berleluasa, yang berkuasa menindas yang lemah, duit dan harta benda keduniaan menjadi matlamat sang penguasa sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kuasa. Inilah realiti dunia politik hari ini.

5. Kerana itu konsep pemilihan kepimpinan sangat penting dalam Islam. Pemimpin mestilah dipilih dikalangan mereka yang mendokong Islam secara telus dan ikhlas serta memiliki nilai amanah dan quwwah itu sendiri. Dalam konteks negara kita pada hari ini atau lebih khusus di kampus ini, demokrasi menjadi amalan dalam pemilihan kepimpinan. Seperti mana yang berlaku ketika mana pemilihan Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai khalifah Islam yang pertama menggantikan Nabi Muhammad SAW menggunakan Bai’ah ‘Ammah atau persaksian yang juga disebut sebagai pungutan suara ramai.
Hari ini kita menggunakan sistem e-undi (e-voting) di mana setiap mahasiswa diberi hak untuk mengundi calon-calon pilihan masing-masing untuk dinaikkan sebagai pemimpin bagi sebuah universiti.

6. Memilih seorang pemimpin merupakan suatu kewajipan yang mesti ditunaikan oleh setiap mahasiswa. Pemimpin yang dipilih akan membawa halatuju rakyatnya sama ada lebih dekat dengan Islam atau lebih jauh dari Islam. Mereka juga yang akan memelihara kesucian agama ini atau mungkin mereka juga yang akan merosakkannya, semuanya terletak di atas tangan pemimpin.

7. Oleh itu, menjadi kewajipan kepada kita memberi penyaksian kita dengan membuang undi dan penyaksian yang kita lakukan itu mestilah kerana Allah SWT.

“…dan persaksikanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan persaksian itu kerana Allah…”
(Surah At-Talaq:2)

Pilihlah calon dikalangan mereka yang benar-benar menempati ciri-ciri kepimpinan yang diwariskan oleh Baginda Nabi SAW dan dikalangan mereka yang benar-benar mendokong Islam itu secara menyeluruh. Sesungguhnya persaksian kita itu ada nilainya di sisi Allah SWT.

8. Sudahpasti undi kita itu ada perkiraan dosa dan pahala. Bagaimana mungkin soal undi tidak ada dalam perkiraan dosa dan pahala sedangkan ia juga termasuk dalam amal perbuatan manusia. Sekecil zarah amalan manusia pun ada pertimbangan dosa dan pahala inikan pula mengundi bagi calon-calon untuk diberikan hak menjalankan tugas kepimpinan.

9. Lakukanlah penilaian yang teliti terhadap calon-calon yang bertanding dan turun mengundi memberikan sokongan kepada calon pilihan kita pada Pilihan Raya Kampus pada kali ini. 

Saya memilih untuk mengundi, anda pula bagaimana?

0 comments:

Post a Comment