Pages

Ads 468x60px

Thursday, December 13, 2012

TURKI : LEMBARAN SEJARAH KEBANGKITAN ISLAM



Turki merupakan sebuah negara yang terletak di antara benua Eropah dan benua Asia. Negara republik ini mempunyai susur galur sejarah yang panjang dan sangat penting untuk umat Islam. Apabila runtuhnya kerajaan Abbasiyyah di Kota Baghdad yang menghadapi tentangan tentera Tartar dan Mongol yang kejam, khilafah bertukar tangan ke Turki Uthmaniyyah.

Turki Uthmaniyyah mencapai zaman kegemilangannya di bawah pemerintahan seorang anak muda bernama Sultan Muhammad Al-Fateh (Sultan Mehmed 2). Beliau telah merealisasi sabda Baginda Nabi SAW :

“Akan dibuka Kota Konstantinople ,sebaik-baik ketua, ketuanya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya”

Kota Konstantinople merupakan sebuah kota yang memiliki kubu yang paling ampuh. Selepas hampir 11 kali percubaan untuk menawan kota tersebut akhirnya Sultan Muhammad Al-Fateh bersama 250ribu tenteranya berjaya menembusi kubu kuat kota ini lalu menawannya.

Pengaruh Kerajaan Turki Uthmaniyyah sangat meluas malah mempunyai hubungkait dengan Tanah Melayu dan Kerajaan Acheh. Kerajaan Turki Uthmaniyyah pernah membekalkan meriam kepada Kerajaan Acheh dalam menghadapi serangan penjajah Portugis suatu ketika dahulu. Di Tanah Melayu pula, bendera Khilafah Uthmaniyyah berkibar ketika menghadapi tentangan penjajah British di Terengganu. Ini memberi gambaran pengaruh Khilafah Uthmaniyyah terhadap Tanah Melayu dan Acheh.

Kebangkitan nasionalis negara-negara Arab adalah merupakan salah satu punca runtuhnya Khilafah Islamiyyah yang terkenal dengan nama “kebangkitan Arab yang besar”(Saurah Arab Akbar). Ini disusuli dengan pengaruh golongan muda yang diberi nama The Young Turk diketuai Mustafa Kamal melalui suatu perancangan tersusun dengan British untuk menjatuhkan Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Sejarah lampau Turki mempunyai keunikannya yang tersendiri dalam melihat jatuh bangun kekuasaan Islam di atas muka bumi. Hari ini, AK Parti (hizbul ‘adalah wattanmiyyah-AKP) berada pada landasan terbaik dalam mengembalikan semula kegemilangan islam yang telah hilang suatu ketika dahulu. Tugas ini dilihat mencabar memandangkan pengaruh Kamalisme (sekularis ekstermist) yang masih berakar kuat di Turki ditambah pula dengan kedudukan Turki sebagai negara republik (pihak tentera yang menjadi penjaga setia kepada perlembagaan Turki) yang tidak membenarkan sama sekali Islam untuk ‘tumbuh’ semula di Turki.

Pengajaran 1 : Kemenangan Hari Ini Hanya Memetik Buah Yang Ditanam Oleh Orang Yang Terdahulu.

Kemenangan AKP dalam pilihanraya Presiden Turki bukanlah semata-mata usaha dan strategi yang digunakan AKP malah ia juga datang dari jalan jihad yang panjang dan berliku yang dihadapi oleh pejuang-pejuang Islam di Turki sebelum daripada itu.


Antara tokoh yang banyak menyumbang kepada kebangkitan Islam di era kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah ialah Syeikh Badi’uzzaman Said An-Nursi yang mempelopori  Gerakan Nursiyyah. Gerakan Nursiyyah mengambil pendekatan Suffiyyah dalam mendekati masyarakat. Syeikh Badi’uzzaman telah menulis lebih dari 100 risalah untuk diluncurkan ketengah masyarakat dalam menyuntik kembali semangat pejuang Islam bangkit membina tapak Khilafah Islamiyyah semula.

Bermula dari situlah Islam mula berkembang dan berkembang sehinggalah seorang cerdik pandai yang bernama Almarhum Necmettin Erbakan menubuhkan Parti Salamah. Perkembangan Islam di Turki mengalami cabaran dan rintangan yang pelbagai. Ada dikalangan mereka yang terbunuh,ada juga yang dipenjara dan ramai dikalangan mereka yang diseksa. Namun, janji Allah SWT yang akan menyempurnakan cahayaNya atas muka bumi meskipun mereka (musuh-musuh Allah) cuba untuk memadamnya.

Di Malaysia, kemenangan yang kita peroleh hari ini hanyalah memetik buah-buah yang ditanam oleh nenek moyang kita suatu ketika dahulu, bukannya semua hasil usaha kita sahaja. Ini merupakan perkara yang sangat penting untuk menjadikan kita menilai kemenangan hari ini (dan akan datang) dengan nilaian yang mahal kerana kemenangan hari ini adalah juga dari darah-darah pejuang-pejuang islam di Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Keikhlasan dan semangat jihad mereka ‘menanam’ benih perjuangan kepada masyarakat telah menghasilkan ‘buah’ yang mereka sendiri tidak sempat untuk merasainya pada hari ini.

Pengajaran 2 : Turki Dimuliakan Kerana Islam Bukan Kerana Bangsanya

Saidina Umar RA pernah menyebut ketika tentera Islam berjaya menguasai Baitul Maqdis :

“Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah kerana Islam. Apabila kita meninggalkan Islam maka kita akan ditimpakan dengan kehinaan.”

Bangsa Turki hari ini mula mendapat perhatian dunia setelah AKP mencapai kemenangan dalam pilihanraya presiden . Kemenangan ini sekaligus memberi ancaman kepada musuh –musuh Islam yang mula melihat Turki menjadi watak utama membela umat Islam khususnya di Palestin, Rohingnya dan wilayah-wilayah umat Islam yang lain.

AKP mencapai kemenangan hari ini kerana mereka berpegang kepada Islam. Sedangkan jika dibandingkan bangsa Arab dengan bangsa Turki, maka kita akan mendapati bahawasanya bangsa Arab jauh lebih hebat berbanding bangsa Turki. Tetapi bangsa Arab yang hebat itu meninggalkan Islam sebagai pegangan mereka malah mereka pula yang menjadi sekutu utama kepada Israel dan Amerika Syarikat menjadikan mereka bangsa yang hina pada hari ini.

Mulia atau hina sesuatu bangsa adalah dengan Islam. Benarlah kata Saidina Umar RA. Bangsa Arab Quraisy semasa Nabi SAW hidup merupakan bangsa yang tinggi akhlaknya, bertamadun dan mulia kerana adanya Islam yang menjadi ‘pakaian’ mereka.

Bangsa Melayu, Cina dan India yang ada di negara kita hari ini juga akan menjadi mulia dengan syarat mereka berpegang dengan Islam. Islam datang dengan nilai-nilai aqidah yang satu dan juga dengan nilai akhlak yang terpuji. Perjuangan bangsa bukanlah dilarang cuma mesti berpada –pada dan tidak menjadi matlamat perjuangan.

Pengajaran 3 : Pentingnya Pembinaan Fikrah Sebagai Tapak Semaian Perjuangan Islam

Adnan Menderes naik menggantikan Mustafa Kamal Attaturk sebagai presiden Turki kedua pasca kejatuhan Khilafah Islamiyyah. Adnan Menderes memiliki sikap yang sedikit terbuka jika dibandingkan dengan Mustafa Kamal. Akibat dari desakan kumpulan-kumpulan pro-Islam di Turki, Adnan Menderes membuka sedikit ruang untuk kumpulan pro-Islam bernafas di Turki dengan membenarkan penubuhan madrasah-madrasah dan maahad –maahad tahfiz di Turki.

Ini merupakan permulaan yang sangat penting bagi sesebuah gerakan Islam itu bertapak iaitu menerapkan fikrah Islamiyyah ke dalam diri setiap ahlinya. Perkembangan Islam di Turki mempunyai kait rapat dengan penubuhan madrasah-madrasah yang menjadi medan utama kepada proses pentarbiyyah fikriyyah kepada masyarakat Islam. Seorang ulama pernah memberitahu antara negara yang akan menjadi pengkalan kepada kebangkitan Islam adalah Turki dan Pakistan selepas melihat kedua negara ini menjadikan masjid dan madrasah sebagai pusat pengajian ilmu Islam. Ternyata hari ini Islam berjaya menguasai Turki di samping negara Pakistan yang bangun menjadi salah sebuah negara Islam yang menjadi ancaman kepada musuh-musuh Islam.

Melihat sepintas lalu perkembangan maahad-maahad tahfiz sains yang semakin berkembang terutamanya di Negeri Cik Siti Wan Kembang menggambarkan masa depan Islam yang kian gemilang. Program-program ilmu, kuliah dan ceramah merupakan asas penting dalam pembinaan kefahaman terhadap Islam itu sendiri.

Dengan betulnya kefahaman terhadap Islam maka fasa seterusnya adalah membentuk fikrah perjuangan dalam pemikiran pejuang Islam. Kemudian ia disusuli dengan penggabungan diri dalam harakah islamiyyah (gerakan islam) yang akhirnya bermatlamat untuk menubuhkan daulah islamiyyah. Fasa penanaman fikrah ini perlu dijaga dengan sebaik mungkin supaya tidak ada jarum luar yang cuba untuk meracuninya. Serangan pemikiran yang melanda umat islam hari ini merupakan suatu bentuk serangan baru yang boleh merosakkan umat islam dari dalam.
………………………………..…………

Turki mempunyai sejarah panjang terhadap kebangkitan Islam dan begitu juga pernah mengalami fasa kejatuhan Islam. Kemenangan Islam melalui AKP sedikit sebanyak memberi nafas baru kepada umat Islam untuk terus memperjuangkan Islam. Dalam keadaan negara yang mengalami asakan doktrinisasi sekularisma yang hebat, umat islam Turki terus kental mendokong Islam kembali kepada masyarakat. Sejarah istimewa ini yang pastinya sangat bernilai dan perlu dijadikan iktibar kepada pejuang-pejuang Islam seluruh dunia.



0 comments:

Post a Comment