Pages

Ads 468x60px

Wednesday, July 25, 2012

SURAT UNTUK ABI DAN UMMI



Kehadapan abi dan ummi yang dihormati lagi disayangi. Diharap sentiasa berada di dalam rahmat Allah SWT dan sihat sejahtera hendaknya.

Tujuan anakanda menulis warkah ringkas ini adalah untuk membuat suatu permohonan yang penting dari abi dan ummi. Anakanda tidak mendesak abi dan ummi dan tidak juga meminta keputusan drastik cuma cukuplah ianya diluncurkan ke pengetahuan abi dan ummi agar kita sama-sama memahami apa yang sebenarnya tersirat di hati anakanda.

Untuk pengetahuan abi dan ummi, hari ini sudah masuk hampir setahun anakanda dan tunang anakanda di’ikat’. Alhamdulillah setakat tempoh ini, anakanda masih bertahan dengan pilihan anakanda walaupun sebenarnya diri ini tidak seteguh mana untuk menempuh hari depan yang belum pasti. Anakanda panjatkan syukur kepada Ilahi kerana memberi kekuatan ini.

Abi dan ummi yang disayangi,

Warkah ini ikhlas ditulis untuk memohon abi dan ummi mempertimbangkan kembali tentang masa depan anakanda dan tunang anakanda. Sebenarnya jauh di sudut hati anakanda, anakanda ingin menyempurnakan segera hubungan anakanda dengan jalan yang Allah SWT redha. Meskipun anakanda sudah pun bertunang, itu bukan jaminan yang kuat untuk menjaga hubungan anakanda ini. Jalan yang selamat tidak lain tidak bukan hanyalah jalan pernikahan.

Hari ini abi dan ummi pastinya sedar kes-kes jenayah yang semakin hari semakin meruncing dikalangan anak muda terutamanya. Kes buang bayi, kes anak luar nikah, kes zina yang sentiasa menghiasi dada-dada akhbar saban hari. Malah kes-kes ini meningkat dari setahun ke setahun. Jika diteliti kes-kes sebegini selalunya berpunca daripada hubungan sosial lelaki dan perempuan ditambah pula pegangan agama yang tidak kuat menjadikan mereka pasangan demi pasangan  hanyut dalam lautan nafsu dunia.

Mungkin timbul di benak abi dan ummi, ketidaklayakan anakanda untuk ‘mendirikan masjid’ sedang anakanda masih menempuh alam pengajian. Tambahan pula, abi dan ummi pastinya risau tentang fokus akademik anakanda jika anakanda berkahwin. Anakanda memahami kerisauan abi dan ummi ada benarnya cuma anakanda boleh memberi jaminan kepada abi dan ummi tentang akademik anakanda lagipun anakanda hanya tinggal beberapa sem sahaja lagi untuk graduasi.

Ada dikalangan mereka yang boleh ‘score’ dalam akademik selepas berkahwin malah lebih ramai yang menunjukkan peningkatan dalam akademik disebabkan berkahwin. Malangnya fakta ini tidak pula diperbesarkan oleh masyarakat umum dan lebih malang anakandalah mangsanya. Anakanda lebih bermaksud di sini soal akademik adalah soal yang subjektif. Tidak semestinya perkahwinan itu membantutkan pelajaran  seseorang.

Abi dan ummi yang dihormati,

Anakanda hendak bawa abi dan ummi untuk melihat perkahwinan anak muda seperti anakanda dalam perspektif yang lain. Jalan perkahwinan akan mententeramkan hati anakanda disamping dapat me’mejamkan mata’ dari pandangan yang boleh membawa kepada perkara-perkara yang berdosa. Pandangan mata boleh membawa kepada seribu satu dosa. Apabila banyak dosa maka banyaklah titik hitam melekat di hati anakanda. Apabila banyak titik hitam maka gelaplah hati. Apabila gelap hati, maka susahlah anakanda hendak menuntut ilmu. Apabila hati tenteram dan dosa pula kurang maka ilmu-ilmu yang dipelajari akan lebih mudah dihadami.

Abi dan ummi akan bersetuju tentang perkara ini cuma perkahwinan juga adalah soal tanggungjawab bukan soal cinta semata-mata. Anakanda sedar tentang tanggungjawab ini dan cuba untuk memahaminya. Jika diberi keizinan, anakanda akan memberi nafkah kepada isteri anakanda RM50 sebulan sementara anakanda masih belajar. Anakanda adalah salah seorang  pemegang biasiswa dan insyAllah anakanda ada kemampuan untuk menampung isteri anakanda sekadarnya (sementara masih belajar). Adapun sumber kewangan yang lain anakanda masih memerlukan keluarga untuk bantu anakanda seperti biasa.

Adapun untuk tempat tinggal, anakanda memilih untuk tinggal di kolej masing-masing kerana lebih mudah untuk berbincang dengan kawan-kawan disebabkan perbezaan kursus yang diambil.

InsyAllah selepas graduasi dari universiti, anakanda akan bekerja untuk tempoh tertentu dan berhasrat untuk ke Timur Tengah mempelajari ilmu agama. Ini impian dan perancangan anakanda dan bakal isteri anakanda. Bukankah ini juga impian abi dan ummi kepada anakanda suatu ketika dahulu? Menjadi doktor yang juga mapan ilmu agamanya. InsyAllah anakanda turuti dan penuhi impian abi dan ummi.

Sampai di sini sahaja warkah ini berbicara dan anakanda cuma mengharapkan abi dan ummi memahami situasi anakanda dan apa salahnya abi dan ummi pimpin tangan anakanda bersama menuju syurga Allah SWT. Itukan matlamat hidup kita. Lebih baik sakit dalam keredhaan Allah SWT dari bahagia dalam dosa dan murka. Cukuplah warkah ini menjadi tatapan abi dan ummi tentang keinginan suci anakanda. Anakanda tetap akan terima keputusan abi dan ummi dengan rasa hormat insyAllah.

Sekian,terima kasih.

Yang Benar,
Anakandamu.

0 comments:

Post a Comment