Pages

Ads 468x60px

Tuesday, August 14, 2012

HARGA SEBUAH KEMENANGAN !


Bulan Ramadhan adalah bulan yang mendidik hati dan jiwa manusia supaya kembali mentaati Allah SWT. Manusia ditawarkan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda sebagai suatu bentuk tarikan kepada manusia untuk lebih bersemangat melakukan amal ketaatan kepadaNya.

Di samping itu, Bulan Ramadhan juga merupakan bulan kemenangan untuk umat Islam. Beberapa peristiwa besar berlaku dalam bulan ini antaranya Perang Badar, Nuzul Quran dan Perjanjian Hudaibiyyah yang telah memberikan suatu pengajaran berharga kepada Islam dan umatnya. Peristiwa-peristiwa berikut sangat bernilai sehingga Allah SWT menjanjikan syurga, mengampunkan dosa yang telah lalu dan yang akan datang kepada ahli Badar, ahli Bai’at Ar-Ridhwan dan ahli Hijrah (mereka yang sama-sama berhijrah dengan Nabi SAW ke Madinah).

Badar Al-Kubra ; Kemenangan Kesinambungan Penyembahan Allah SWT Atas Muka Bumi

Perang Badar merupakan perang pertama dalam Islam selepas tertubuhnya Negara Islam Madinah. Peristiwa yang menyaksikan para sahabat dalam keadaan kekurangan peralatan perang ditambah dengan jumlah tentera lawan yang jauh lebih ramai jika dibandingkan dengan tentera Islam.

Nabi SAW telah mengangkat tangan dan berdoa dengan lama sehinggakan serban di bahu Baginda SAW jatuh ditiup angin, Baginda SAW hanya membiarkan sahaja. Abu Bakar RA mengambil kembali serban tersebut dan meletakkannya kembali ke bahu Baginda SAW. Nabi SAW berdoa dalam suatu doa yang panjang dan menyebutkan :

“Wahai Tuhan, jika kelompok kecil ini tewas nescaya Engkau tidak akan disembah lagi atas bumi ini”

Pertembungan yang berlaku bukanlah pertembungan kerana merebutkan harta benda  -  golongan munafik berpatah balik apabila diketahuinya tentera Islam ke Badar bukan untuk mengambil harta sebaliknya berperang. Juga bukan pula pertembungan kerana tanah air mahupun pertembungan bangsa - para sahabat berperang dengan ahli keluarga mereka sendiri. Tetapi pertembungan ini adalah pertembungan antara haq dan batil.

Meskipun begitu, dengan segala kekurangan, para sahabat terus melangkah menghunus senjata menumbangkan musuh satu persatu. Jumlah yang sedikit bukan alasan untuk mereka lemah semangat, musuh mereka yang terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat handai juga bukan alasan mereka untuk tidak berperang. Apabila keimanan menguasai jiwa maka nyawa mereka gadaikan untuk perjuangan Islam kerana mereka sedar betapa pentingnya kemenangan untuk Islam atau disyahidkan Allah SWT dan Allah SWT memberikan kemenangan kepada Islam.

Harta benda, keturunan dan tanah air tidak akan selamat selagimana Islam tidak selamat. Hanya Islam yang akan menyelamatkan harta benda, kewangan dan tanah air. Itulah harga sebuah kemenangan!
Nuzul Al-Quran : Kemenangan Menyempurnakan Syariat Islam

Seorang wartawan Jerman ketika mana mengulas mengenai krisis ekonomi yang merudum dikalangan Negara Eropah menyebutkan bahawasanya Ketua Paderi Kristian Katholik, Pop Benedict perlu juga membaca Al-Quran dalam mencari jawapan kepada penyelesaian bukan semata-mata merujuk kepada Kitab Injil dan Taurat.

Saban hari manusia menolak Al-Quran kononnya Al-Quran tidak lagi sesuai diamalkan pada zaman moden ini. Kerajaan menolak Al-Quran kononnya untuk keharmonian kaum. Al-Quran hanya dijadikan bahan untuk dipertandingkan bukan untuk dilaksanakan hukum-hakam di dalamnya. Al-Quran semakin lama semakin dilupakan oleh masyarakat.

Apabila Al-Quran tidak berada di tempat yang sepatutnya maka begitulah kesannya. Al-Quran bukan sahaja untuk soal-soal ibadat dan nikah kahwin tetapi ia juga merangkumi aspek pentadbiran sebuah kerajaan. Syariat Islam tidak mungkin terlaksana jika mereka yang beriman yang benar-benar memahami Al-Quran menjadi pemerintah.

Hanya dengan kemenangan Islam yang dapat mengembalikan Al-Quran kembali ke tempatnya. Itulah harga sebuah kemenangan!
Sulh Hudaibiyyah : Kunci Kepada Kemenangan yang Nyata!

Para sahabat RA tersentak dengan keputusan Rasulullah SAW ; menerima suatu bentuk perjanjian yang jelas berat sebelah. Mereka yang sudah bersedia berpakaian ihram untuk menunaikan umrah di bumi Makkah tiba-tiba terhalang dek perjanjian dengan pihak Quraisy yang mengatakan umrah boleh dilakukan pada tahun hadapan bukan tahun ini.

Saidina Umar RA bangun bertanya ; “Wahai Rasulullah SAW, adakah Tuan Pesuruh Allah?” Rasulullah SAW menjawab ; “Ya”. Beliau bertanya lagi ; “Adakah kita orang Islam?”. Rasulullah SAW menjawab ; “Ya. Kita orang Islam” Saidina Umar RA menyambung ; “Jadi mengapa Tuan terima perjanjian ini?”. Rasulullah SAW menjawab ; “Sebab Allah yang suruh.”

Begitulah lumrah perjuangan Islam, ada perkara yang kita tidak suka tetapi perkara itu baik untuk kita dan ada perkara yang kita suka tetapi perkara itu tidak baik dengan kita. Ketika itu, para sahabat RA yang masih belum memahami apa yang tersirat disebalik perjanjian ini namun atas ketaatan pada perintah Allah mereka akur.

Hikmah Allah SWT akhirnya Nabi SAW dan para sahabat RA dapat menguasai Makkah yang terkenal dengan peristiwa Fathu Makkah (Pembukaan Kota Makkah). Peristiwa yang menyaksikan tidak sampai 10 orang pun mati jika dibandingkan dengan revolusi-revolusi yang pernah berlaku yang telah menyebabkan pertumpahan darah berlaku sehingga berjuta-juta orang.

Malah Rasulullah SAW memberikan keampunan kepada seluruh penduduk Makkah sehingga mereka berbondong-bondong mengucapkan syahadah .Itulah harga sebuah kemenangan!

Hikmah Ramadhan & Kemenangan Islam

Ramadhan memberikan suatu pengiktikbaran yang agung kepada pejuang-pejuang Islam. Peristiwa kemenangan-kemenangan utama yang berlaku dalam Bulan yang Mulia ini sepatutnya meniupkan lagi semangat roh perjuangan untuk sama-sama bekerja memenangkan Islam.

Kita beriman bahawasanya kekuatan yang kita ada bukanlah penyebab kepada kemenangan itu sendiri bahkan kemenangan hanya datang daripada Allah SWT. Hanya Allah SWT yang menentukan sama ada kita kalah atau menang dalam pertempuran dengan musuh-musuhNya.

Walaubagaimanapun di sana ada tahap-tahap yang mesti kita capai dalam memastikan Allah SWT terima dan berikan kemenangan kepada Islam. Contohilah kesungguhan Ahli Badar, mereka sedar kemenangan sangat penting demi kelansungan agama Allah maka mereka berusaha untuk menang dan Allah SWT memberikan kemenangan kepada mereka.

Adakah usaha kita hari ini berbaloi untuk Allah SWT berikan kemenangan kepada kita dalam mana kita sedar hanya kemenangan sahaja yang akan menyelamatkan bumi ini dari tangan-tangan kotor?

Inilah hikmah Ramadhan yang memberi pengajaran kepada pejuang-pejuang agama Allah untuk kembali menghalusi usaha-usaha kita, taqarrub kita kepada Allah SWT dalam mencapai kemenangan yang dijanjikan dan sungguh bernilainya harga sebuah kemenangan!

0 comments:

Post a Comment