Pages

Ads 468x60px

Showing posts with label ILMIAH. Show all posts
Showing posts with label ILMIAH. Show all posts

Thursday, December 13, 2012

TURKI : LEMBARAN SEJARAH KEBANGKITAN ISLAM



Turki merupakan sebuah negara yang terletak di antara benua Eropah dan benua Asia. Negara republik ini mempunyai susur galur sejarah yang panjang dan sangat penting untuk umat Islam. Apabila runtuhnya kerajaan Abbasiyyah di Kota Baghdad yang menghadapi tentangan tentera Tartar dan Mongol yang kejam, khilafah bertukar tangan ke Turki Uthmaniyyah.

Turki Uthmaniyyah mencapai zaman kegemilangannya di bawah pemerintahan seorang anak muda bernama Sultan Muhammad Al-Fateh (Sultan Mehmed 2). Beliau telah merealisasi sabda Baginda Nabi SAW :

“Akan dibuka Kota Konstantinople ,sebaik-baik ketua, ketuanya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya”

Kota Konstantinople merupakan sebuah kota yang memiliki kubu yang paling ampuh. Selepas hampir 11 kali percubaan untuk menawan kota tersebut akhirnya Sultan Muhammad Al-Fateh bersama 250ribu tenteranya berjaya menembusi kubu kuat kota ini lalu menawannya.

Pengaruh Kerajaan Turki Uthmaniyyah sangat meluas malah mempunyai hubungkait dengan Tanah Melayu dan Kerajaan Acheh. Kerajaan Turki Uthmaniyyah pernah membekalkan meriam kepada Kerajaan Acheh dalam menghadapi serangan penjajah Portugis suatu ketika dahulu. Di Tanah Melayu pula, bendera Khilafah Uthmaniyyah berkibar ketika menghadapi tentangan penjajah British di Terengganu. Ini memberi gambaran pengaruh Khilafah Uthmaniyyah terhadap Tanah Melayu dan Acheh.

Kebangkitan nasionalis negara-negara Arab adalah merupakan salah satu punca runtuhnya Khilafah Islamiyyah yang terkenal dengan nama “kebangkitan Arab yang besar”(Saurah Arab Akbar). Ini disusuli dengan pengaruh golongan muda yang diberi nama The Young Turk diketuai Mustafa Kamal melalui suatu perancangan tersusun dengan British untuk menjatuhkan Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Sejarah lampau Turki mempunyai keunikannya yang tersendiri dalam melihat jatuh bangun kekuasaan Islam di atas muka bumi. Hari ini, AK Parti (hizbul ‘adalah wattanmiyyah-AKP) berada pada landasan terbaik dalam mengembalikan semula kegemilangan islam yang telah hilang suatu ketika dahulu. Tugas ini dilihat mencabar memandangkan pengaruh Kamalisme (sekularis ekstermist) yang masih berakar kuat di Turki ditambah pula dengan kedudukan Turki sebagai negara republik (pihak tentera yang menjadi penjaga setia kepada perlembagaan Turki) yang tidak membenarkan sama sekali Islam untuk ‘tumbuh’ semula di Turki.

Pengajaran 1 : Kemenangan Hari Ini Hanya Memetik Buah Yang Ditanam Oleh Orang Yang Terdahulu.

Kemenangan AKP dalam pilihanraya Presiden Turki bukanlah semata-mata usaha dan strategi yang digunakan AKP malah ia juga datang dari jalan jihad yang panjang dan berliku yang dihadapi oleh pejuang-pejuang Islam di Turki sebelum daripada itu.


Antara tokoh yang banyak menyumbang kepada kebangkitan Islam di era kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah ialah Syeikh Badi’uzzaman Said An-Nursi yang mempelopori  Gerakan Nursiyyah. Gerakan Nursiyyah mengambil pendekatan Suffiyyah dalam mendekati masyarakat. Syeikh Badi’uzzaman telah menulis lebih dari 100 risalah untuk diluncurkan ketengah masyarakat dalam menyuntik kembali semangat pejuang Islam bangkit membina tapak Khilafah Islamiyyah semula.

Bermula dari situlah Islam mula berkembang dan berkembang sehinggalah seorang cerdik pandai yang bernama Almarhum Necmettin Erbakan menubuhkan Parti Salamah. Perkembangan Islam di Turki mengalami cabaran dan rintangan yang pelbagai. Ada dikalangan mereka yang terbunuh,ada juga yang dipenjara dan ramai dikalangan mereka yang diseksa. Namun, janji Allah SWT yang akan menyempurnakan cahayaNya atas muka bumi meskipun mereka (musuh-musuh Allah) cuba untuk memadamnya.

Di Malaysia, kemenangan yang kita peroleh hari ini hanyalah memetik buah-buah yang ditanam oleh nenek moyang kita suatu ketika dahulu, bukannya semua hasil usaha kita sahaja. Ini merupakan perkara yang sangat penting untuk menjadikan kita menilai kemenangan hari ini (dan akan datang) dengan nilaian yang mahal kerana kemenangan hari ini adalah juga dari darah-darah pejuang-pejuang islam di Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Keikhlasan dan semangat jihad mereka ‘menanam’ benih perjuangan kepada masyarakat telah menghasilkan ‘buah’ yang mereka sendiri tidak sempat untuk merasainya pada hari ini.

Pengajaran 2 : Turki Dimuliakan Kerana Islam Bukan Kerana Bangsanya

Saidina Umar RA pernah menyebut ketika tentera Islam berjaya menguasai Baitul Maqdis :

“Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah kerana Islam. Apabila kita meninggalkan Islam maka kita akan ditimpakan dengan kehinaan.”

Bangsa Turki hari ini mula mendapat perhatian dunia setelah AKP mencapai kemenangan dalam pilihanraya presiden . Kemenangan ini sekaligus memberi ancaman kepada musuh –musuh Islam yang mula melihat Turki menjadi watak utama membela umat Islam khususnya di Palestin, Rohingnya dan wilayah-wilayah umat Islam yang lain.

AKP mencapai kemenangan hari ini kerana mereka berpegang kepada Islam. Sedangkan jika dibandingkan bangsa Arab dengan bangsa Turki, maka kita akan mendapati bahawasanya bangsa Arab jauh lebih hebat berbanding bangsa Turki. Tetapi bangsa Arab yang hebat itu meninggalkan Islam sebagai pegangan mereka malah mereka pula yang menjadi sekutu utama kepada Israel dan Amerika Syarikat menjadikan mereka bangsa yang hina pada hari ini.

Mulia atau hina sesuatu bangsa adalah dengan Islam. Benarlah kata Saidina Umar RA. Bangsa Arab Quraisy semasa Nabi SAW hidup merupakan bangsa yang tinggi akhlaknya, bertamadun dan mulia kerana adanya Islam yang menjadi ‘pakaian’ mereka.

Bangsa Melayu, Cina dan India yang ada di negara kita hari ini juga akan menjadi mulia dengan syarat mereka berpegang dengan Islam. Islam datang dengan nilai-nilai aqidah yang satu dan juga dengan nilai akhlak yang terpuji. Perjuangan bangsa bukanlah dilarang cuma mesti berpada –pada dan tidak menjadi matlamat perjuangan.

Pengajaran 3 : Pentingnya Pembinaan Fikrah Sebagai Tapak Semaian Perjuangan Islam

Adnan Menderes naik menggantikan Mustafa Kamal Attaturk sebagai presiden Turki kedua pasca kejatuhan Khilafah Islamiyyah. Adnan Menderes memiliki sikap yang sedikit terbuka jika dibandingkan dengan Mustafa Kamal. Akibat dari desakan kumpulan-kumpulan pro-Islam di Turki, Adnan Menderes membuka sedikit ruang untuk kumpulan pro-Islam bernafas di Turki dengan membenarkan penubuhan madrasah-madrasah dan maahad –maahad tahfiz di Turki.

Ini merupakan permulaan yang sangat penting bagi sesebuah gerakan Islam itu bertapak iaitu menerapkan fikrah Islamiyyah ke dalam diri setiap ahlinya. Perkembangan Islam di Turki mempunyai kait rapat dengan penubuhan madrasah-madrasah yang menjadi medan utama kepada proses pentarbiyyah fikriyyah kepada masyarakat Islam. Seorang ulama pernah memberitahu antara negara yang akan menjadi pengkalan kepada kebangkitan Islam adalah Turki dan Pakistan selepas melihat kedua negara ini menjadikan masjid dan madrasah sebagai pusat pengajian ilmu Islam. Ternyata hari ini Islam berjaya menguasai Turki di samping negara Pakistan yang bangun menjadi salah sebuah negara Islam yang menjadi ancaman kepada musuh-musuh Islam.

Melihat sepintas lalu perkembangan maahad-maahad tahfiz sains yang semakin berkembang terutamanya di Negeri Cik Siti Wan Kembang menggambarkan masa depan Islam yang kian gemilang. Program-program ilmu, kuliah dan ceramah merupakan asas penting dalam pembinaan kefahaman terhadap Islam itu sendiri.

Dengan betulnya kefahaman terhadap Islam maka fasa seterusnya adalah membentuk fikrah perjuangan dalam pemikiran pejuang Islam. Kemudian ia disusuli dengan penggabungan diri dalam harakah islamiyyah (gerakan islam) yang akhirnya bermatlamat untuk menubuhkan daulah islamiyyah. Fasa penanaman fikrah ini perlu dijaga dengan sebaik mungkin supaya tidak ada jarum luar yang cuba untuk meracuninya. Serangan pemikiran yang melanda umat islam hari ini merupakan suatu bentuk serangan baru yang boleh merosakkan umat islam dari dalam.
………………………………..…………

Turki mempunyai sejarah panjang terhadap kebangkitan Islam dan begitu juga pernah mengalami fasa kejatuhan Islam. Kemenangan Islam melalui AKP sedikit sebanyak memberi nafas baru kepada umat Islam untuk terus memperjuangkan Islam. Dalam keadaan negara yang mengalami asakan doktrinisasi sekularisma yang hebat, umat islam Turki terus kental mendokong Islam kembali kepada masyarakat. Sejarah istimewa ini yang pastinya sangat bernilai dan perlu dijadikan iktibar kepada pejuang-pejuang Islam seluruh dunia.



Tuesday, August 14, 2012

HARGA SEBUAH KEMENANGAN !


Bulan Ramadhan adalah bulan yang mendidik hati dan jiwa manusia supaya kembali mentaati Allah SWT. Manusia ditawarkan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda sebagai suatu bentuk tarikan kepada manusia untuk lebih bersemangat melakukan amal ketaatan kepadaNya.

Di samping itu, Bulan Ramadhan juga merupakan bulan kemenangan untuk umat Islam. Beberapa peristiwa besar berlaku dalam bulan ini antaranya Perang Badar, Nuzul Quran dan Perjanjian Hudaibiyyah yang telah memberikan suatu pengajaran berharga kepada Islam dan umatnya. Peristiwa-peristiwa berikut sangat bernilai sehingga Allah SWT menjanjikan syurga, mengampunkan dosa yang telah lalu dan yang akan datang kepada ahli Badar, ahli Bai’at Ar-Ridhwan dan ahli Hijrah (mereka yang sama-sama berhijrah dengan Nabi SAW ke Madinah).

Badar Al-Kubra ; Kemenangan Kesinambungan Penyembahan Allah SWT Atas Muka Bumi

Perang Badar merupakan perang pertama dalam Islam selepas tertubuhnya Negara Islam Madinah. Peristiwa yang menyaksikan para sahabat dalam keadaan kekurangan peralatan perang ditambah dengan jumlah tentera lawan yang jauh lebih ramai jika dibandingkan dengan tentera Islam.

Nabi SAW telah mengangkat tangan dan berdoa dengan lama sehinggakan serban di bahu Baginda SAW jatuh ditiup angin, Baginda SAW hanya membiarkan sahaja. Abu Bakar RA mengambil kembali serban tersebut dan meletakkannya kembali ke bahu Baginda SAW. Nabi SAW berdoa dalam suatu doa yang panjang dan menyebutkan :

“Wahai Tuhan, jika kelompok kecil ini tewas nescaya Engkau tidak akan disembah lagi atas bumi ini”

Pertembungan yang berlaku bukanlah pertembungan kerana merebutkan harta benda  -  golongan munafik berpatah balik apabila diketahuinya tentera Islam ke Badar bukan untuk mengambil harta sebaliknya berperang. Juga bukan pula pertembungan kerana tanah air mahupun pertembungan bangsa - para sahabat berperang dengan ahli keluarga mereka sendiri. Tetapi pertembungan ini adalah pertembungan antara haq dan batil.

Meskipun begitu, dengan segala kekurangan, para sahabat terus melangkah menghunus senjata menumbangkan musuh satu persatu. Jumlah yang sedikit bukan alasan untuk mereka lemah semangat, musuh mereka yang terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat handai juga bukan alasan mereka untuk tidak berperang. Apabila keimanan menguasai jiwa maka nyawa mereka gadaikan untuk perjuangan Islam kerana mereka sedar betapa pentingnya kemenangan untuk Islam atau disyahidkan Allah SWT dan Allah SWT memberikan kemenangan kepada Islam.

Harta benda, keturunan dan tanah air tidak akan selamat selagimana Islam tidak selamat. Hanya Islam yang akan menyelamatkan harta benda, kewangan dan tanah air. Itulah harga sebuah kemenangan!
Nuzul Al-Quran : Kemenangan Menyempurnakan Syariat Islam

Seorang wartawan Jerman ketika mana mengulas mengenai krisis ekonomi yang merudum dikalangan Negara Eropah menyebutkan bahawasanya Ketua Paderi Kristian Katholik, Pop Benedict perlu juga membaca Al-Quran dalam mencari jawapan kepada penyelesaian bukan semata-mata merujuk kepada Kitab Injil dan Taurat.

Saban hari manusia menolak Al-Quran kononnya Al-Quran tidak lagi sesuai diamalkan pada zaman moden ini. Kerajaan menolak Al-Quran kononnya untuk keharmonian kaum. Al-Quran hanya dijadikan bahan untuk dipertandingkan bukan untuk dilaksanakan hukum-hakam di dalamnya. Al-Quran semakin lama semakin dilupakan oleh masyarakat.

Apabila Al-Quran tidak berada di tempat yang sepatutnya maka begitulah kesannya. Al-Quran bukan sahaja untuk soal-soal ibadat dan nikah kahwin tetapi ia juga merangkumi aspek pentadbiran sebuah kerajaan. Syariat Islam tidak mungkin terlaksana jika mereka yang beriman yang benar-benar memahami Al-Quran menjadi pemerintah.

Hanya dengan kemenangan Islam yang dapat mengembalikan Al-Quran kembali ke tempatnya. Itulah harga sebuah kemenangan!
Sulh Hudaibiyyah : Kunci Kepada Kemenangan yang Nyata!

Para sahabat RA tersentak dengan keputusan Rasulullah SAW ; menerima suatu bentuk perjanjian yang jelas berat sebelah. Mereka yang sudah bersedia berpakaian ihram untuk menunaikan umrah di bumi Makkah tiba-tiba terhalang dek perjanjian dengan pihak Quraisy yang mengatakan umrah boleh dilakukan pada tahun hadapan bukan tahun ini.

Saidina Umar RA bangun bertanya ; “Wahai Rasulullah SAW, adakah Tuan Pesuruh Allah?” Rasulullah SAW menjawab ; “Ya”. Beliau bertanya lagi ; “Adakah kita orang Islam?”. Rasulullah SAW menjawab ; “Ya. Kita orang Islam” Saidina Umar RA menyambung ; “Jadi mengapa Tuan terima perjanjian ini?”. Rasulullah SAW menjawab ; “Sebab Allah yang suruh.”

Begitulah lumrah perjuangan Islam, ada perkara yang kita tidak suka tetapi perkara itu baik untuk kita dan ada perkara yang kita suka tetapi perkara itu tidak baik dengan kita. Ketika itu, para sahabat RA yang masih belum memahami apa yang tersirat disebalik perjanjian ini namun atas ketaatan pada perintah Allah mereka akur.

Hikmah Allah SWT akhirnya Nabi SAW dan para sahabat RA dapat menguasai Makkah yang terkenal dengan peristiwa Fathu Makkah (Pembukaan Kota Makkah). Peristiwa yang menyaksikan tidak sampai 10 orang pun mati jika dibandingkan dengan revolusi-revolusi yang pernah berlaku yang telah menyebabkan pertumpahan darah berlaku sehingga berjuta-juta orang.

Malah Rasulullah SAW memberikan keampunan kepada seluruh penduduk Makkah sehingga mereka berbondong-bondong mengucapkan syahadah .Itulah harga sebuah kemenangan!

Hikmah Ramadhan & Kemenangan Islam

Ramadhan memberikan suatu pengiktikbaran yang agung kepada pejuang-pejuang Islam. Peristiwa kemenangan-kemenangan utama yang berlaku dalam Bulan yang Mulia ini sepatutnya meniupkan lagi semangat roh perjuangan untuk sama-sama bekerja memenangkan Islam.

Kita beriman bahawasanya kekuatan yang kita ada bukanlah penyebab kepada kemenangan itu sendiri bahkan kemenangan hanya datang daripada Allah SWT. Hanya Allah SWT yang menentukan sama ada kita kalah atau menang dalam pertempuran dengan musuh-musuhNya.

Walaubagaimanapun di sana ada tahap-tahap yang mesti kita capai dalam memastikan Allah SWT terima dan berikan kemenangan kepada Islam. Contohilah kesungguhan Ahli Badar, mereka sedar kemenangan sangat penting demi kelansungan agama Allah maka mereka berusaha untuk menang dan Allah SWT memberikan kemenangan kepada mereka.

Adakah usaha kita hari ini berbaloi untuk Allah SWT berikan kemenangan kepada kita dalam mana kita sedar hanya kemenangan sahaja yang akan menyelamatkan bumi ini dari tangan-tangan kotor?

Inilah hikmah Ramadhan yang memberi pengajaran kepada pejuang-pejuang agama Allah untuk kembali menghalusi usaha-usaha kita, taqarrub kita kepada Allah SWT dalam mencapai kemenangan yang dijanjikan dan sungguh bernilainya harga sebuah kemenangan!

Tuesday, July 10, 2012

KALAU EURO KITA BEGITU, MENGAPA TIDAK RAMADHAN JUGA BEGITU...




Kalau EURO kita meneliti info-info penting tentang kejohanan, pasukan-pasukan yang bertanding, bintang-bintang bolasepak yang akan beraksi dan juga tentang venue pertandingan berlangsung.
Mengapa tidak Bulan RAMADHAN ini kita juga meneliti info-info penting tentang kelebihan Ramadhan yang mana diceritakan sehingga para sahabat RA menangis apabila Ramadhan meninggalkan mereka, info tentang kelebihan berpuasa dan sembahyang tarawikh, juga kita membelek sedikiti sebanyak fiqh tentang puasa sekadar untuk refresh hukum hakam berkaitan dengan ibadah puasa. Begitu juga tentang kelebihan membaca al-Quran dan malam Lailatul Qadr yang jelas sangat besar faedah dan kelebihannya kepada kita.

Kalau EURO kita ada countdown sebulan sebelum kejohanan bermula. Akhbar-akhbar dan juga media-media elektronik tempatan mahupun antarabangsa tidak henti-henti menayangkan iklan-iklan berkaitan dengan kejohanan sebagai suatu bentuk promosi untuk memeriahkan kejohanan 4 tahun sekali itu.
Mengapa tidak Bulan RAMADHAN ini kita juga ada countdown sebelum menjelangnya Ramadhan. Sekurang-kurangnya dengan  melakukan persediaan sedikit sebanyak dari sudut ilmu, fizikal, mental dan kewangan. Ini akan menambahkan lagi kemeriahan Ramadhan dan menjadikan kita lebih bersemangat untuk merebut segala kelebihan yang terkandung di dalam madrasah Ramadhan al-Mubarak.

Kalau EURO kita ada analisis penuh perlawanan sama ada perlawanan yang sudah pun berlangsung mahupun yang akan berlangsung. Daripada pakar-pakar bolasepak sehinggalah di kedai-kedai kopi, masing-masing berkongsi suatu cerita yang sama iaitu BOLA SEPAK.
Mengapa tidak Bulan RAMADHAN ini kita lakukan analisis ringkas tentang apa yang berlaku pada Ramadhan-Ramadhan yang berlalu, sejauh mana amalan kita, iman kita, keyakinan kita kepada Allah SWT dan ikhlas kita dalam menjalankan tugas sebagai hamba kepadaNya. Ambil sedikit masa untuk kita renung perjalanan kita yang saya kira rata-rata kita hari ini berada pada umur yang semakin matang. Apakah Ramadhan kali ini akan berlalu seperti angin yang bertiup, tidak ada kesan kepada kehidupan kita sedangkan Allah SWT sebut di dalam al-Quran kesan dari bulan yang mulia ini adalah darjat TAQWA kepada Allah?

Kalau EURO kita sanggup bangun malamn semata-mata untuk menonton pasukan kegemaran kita beraksi, malah ada dikalangan kita yang bersengkang mata menunggu sepak mula perlawanan yang bermula pada pukul 2.45 pagi. Hebat!
Mengapa tidak Bulan RAMADHAN ini kita  juga bangun malam untuk memohon sesuatu kepada Allah SWT. Hanya 2 rakaat untuk solat tahajjud yang hanya mengambil masa 5-10 minit sahaja kemudian berdoalah kepada Allah SWT, mintalah apa sahaja yang kita hendakkan, merayulah apa yang kita hendak rayu. Berdoalah moga umur kita diberkati dan mati kita dirahmati.

Sebenarnya tidak salah kita meminati sesuatu perkara dan bersusah payah kerana perkara tersebut selagi kita tidak melanggar syariat Allah SWT cuma kadang-kadang dek disibukkan perkara itu kita terlupa ada perkara yang lain yang sebenarnya sangat penting dalam kehidupan kita. Perkara tersebut tidak lain tidak bukan ialah perkara yang berkaitan dengan akhirat kita.

Dalam dunia ini perkara yang berat dan susah akan menjadi mudah dan ringan bagi kita jika minat dan sayang kepada perkara tersebut. Dengan sebab itu tidak hairanlah kita mudah untuk bangun malam tengok bola, sebab kita minat dan sayang kepada bola sepak. Minat dan sayang sebenarnya boleh merubah segalanya.

Persoalannya, ada atau tidak perasaan sayang dan minat kita kepada kehadiran Bulan Ramadhan ini? Ini yang kita perlu soal kepada diri kita dalam menghadapi Ramadhan ini. Jika tiada ada sayang dan minat, datanglah berapa kali Ramadhan pun, tidak ada kesan kepada diri kita. 

Hari ini kita berada pada penghujung Bulan Syaaban dan dalam beberapa hari lagi kita bakal menyambut Ramadhan al-Mubarak, masih sempat untuk kita melakukan persediaan ringkas supaya Ramadhan kali ini lebih membekas di hati kita.

Kehadiranmu Dinanti Ya Ramadhan!







Saturday, June 9, 2012

HAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! TAK PAYAH NAK JADI BAIK


 Dalam menelusuri kehidupan di dunia yang sarat dengan pelbagai permainan, hiburan, kelekaan dan penipuan, sedar atau tidak sudah lebih separuh bulan Rejab kita tinggalkan. Bagi para penuntut universiti, mereka masih terus mengerah keringat menghabiskan sisa-sisa perjuangan mereka dalam peperiksaan yang masih berbaki. Para murid sekolah dan guru tidak kurang pula meniti hari menghabiskan cuti.

Para politikus pula terus dan semakin sibuk menghitung dan meramal tarikh pilihanraya umum bagi mempersiapkan diri. Masing-masing berusaha untuk mempromosi premis/parti mereka. Manifesto mula direka. Pasukan siap siaga. Tidak kurang juga semakin hebat serangan balas antara mereka. Caci-mencaci, maki-memaki, tuduh-menuduh dan fitnah-memfitnah terus mewarnai dada-dada akhbar, ruang siber, blog-blog dan sebagainya.
Para penyokong juga tidak ketinggalan menyatakan sokongan mereka. Ruangan facebook kini menjadi antara senjata utama mereka untuk turut serta mempertahankan parti yang mereka kagumi. Facebook juga dijadikan medium untuk mereka melempiaskan perasaan terhadap parti yang tidak sehaluan dengan mereka. Oh, alangkah ‘indah’ permainan dunia ini. Penuh dengan gelagat manusia yang pelbagai.

Hari berganti hari dan minggu terus bertukar ganti. Umur semakin meningkat. Tidak bisa diulang kembali. Meningkatnya umur menandakan semakin hampirlah diri menjengah ruang pintu akhirat yang telah dijanji oleh Pencipta hakiki. Bagaimana keadaannya saat kita meniti titian halus siratulmustaqim? Bagaimana keadaannya tatkala segala amalan kita dipertontonkan? Bagaimana pula saat amalan-amalan itu ditimbang Mizan?
Mulut terkunci rapat. Tangan, kaki, mata, telinga, dan segala anggota lain memberi penyaksian. Tidak mampu untuk kita mempertahankan diri. Segalanya telah terbongkar. Hanya menunggu keputusan sama ada diterima olehNya menikmati haruman dan kenikmatan Syurga. Atau lebih malang dihumban dan dibakar di Neraka Jahannam!
Namun, gelagat manusia sepertiku menjadi sedikit alpa dengan janji ini dek kerana terleka dengan panorama ciptaan Ilahi di dunia yang sementara. Andai Nabi Muhammad S.A.W ada di sisi, pasti tidak ada apa yang dapat baginda banggakan dengan diri ini selaku salah seorang ummat. Hidup seakan hanya menanti mati, tidak langsung memberi erti kepada agama yang dianuti.
Apakah sudah tidak ada masa lagi? Tidak! Masa masih ada. Tuhan Yang Maha Esa masih mengizinkan untuk sama-sama kita memperbaiki diri. Nafas masih berhembus. Jantung masih berdegup. Nadi masih berdenyut. Ayuh ingat kembali ajaran-ajaran agama. Memperkukuh kefahaman dalam beramal. Melaksana suruhan dan meninggalkan larangan dengan sepenuh kepatuhan terhadapNya.
Amat malang andai umur sahaja yang makin meningkat, tetapi kualiti amalan tidak ada beza dengan tahun-tahun sebelumnya.
Bagaimana untuk berubah? Oh, mudah sahaja. Bagi yang kaki berfacebook, berfacebooklah kalian tanpa sebarang halangan. Bagi yang minat solek-menyolek, fesyen berfesyen, nyanyian, tarian dsb, teruskan dengan minat baik anda itu. Bagi ahli-ahli politik, peminat-peminat ahli politik dan penyokong-penyokong fanatik, teruslah dengan kerja-kerja politik itu. Bagi peminat-peminat bola sepak yang menunggu sepak mula EURO 2012, jangan lepaskan peluang menonton perlawanan-perlawanan yang akan disediakan.

CUMA!
Ingin saya bawa diri saya dan tuan-tuan semua untuk kita sama-sama kembali renungi bait-bait terakhir khutbah Nabi kesayangan kita;
“Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur’an dan Sunnahku.”

Dalam apa sahaja perlakuan kita, dalam segenap segi anggota badan ini mahu diperguna, jadikanlah Dua Perkara ini sebagai rujukan utama. Ikut sahaja apa yang terkandung di dalamnya. Andai dirasakan apa sahaja yang ingin dibuat itu terpesong dari “buku panduan & rujukan” ini, tinggalkanlah.

Tidak kiralah dalam apa bidang sekalipun. Rejab masih dalam genggaman, Syaaban terus dinantikan. Ramadhan yang bakal menjelma terhidang dengan 1001 ganjaran. Bulan-bulan ini kesemuanya terselit pelbagai hidangan istimewa buat orang yang beriman. Rebutlah dengan sebaiknya. Berusahalah kita untuk berubah. Cukup mudah, tidaklah payah.
“ Hai orang-orang beriman, tak payah nak jadi baik!”

Amirudin Ismail,
President Ma’ruf Club IIUM.

Wednesday, May 30, 2012

MENGAPA MESTI KEMBALI KEPADA ISLAM...


Umat Islam hari ini lebih suka membuat tafsiran dan penilaian terhadap Islam dengan hanya berpandukan kepada akal fikiran mereka yang sangat terbatas. Maka di sana begitu banyak tanggapan-tanggapan negatif ditampalkan kepada Islam sehingga Islam sebenar yang turun kepada Nabi SAW terlindung dek tampalan-tampalan tadi. Apatah lagi berada pada zaman kebebasan berfikir sehingga akal fikiran menjadi asas dalam setiap tindakan mereka termasuk dalam perkara-perkara tetap yang berkaitan dengan agama.

Sebahagian dari mereka menganggap masyarakat akan menjadi mundur dan negara akan kembali menjadi miskin apabila Islam memerintah seolah-olah di suatu sudut yang lain mereka hendak menampakkan ada kelompangan dalam Islam yang turun daripada Allah SWT. Inilah merupakan jarum-jarum yang sangat halus yang melanda umat Islam hari ini. Sedangkan di dalam Al-Quran jelas menyebutkan tentang kesyumulan Islam ;

“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu dan telah Kuredhai Islam menjadi agama bagimu..”
(Surah Al-Maidah : 3)

Barangkali mereka yang mengatakan sedimikian terlupa tentang sejarah penubuhan negara Israel. Negara Israel  ditubuhkan atas prinsip agama yang tulin tetapi tiada siapa yang mengatakan negara Israel akan mundur kerana didirikan atas prinsip agama sebaliknya Negara kapitalis barat memberi pula pengikitirafan kepada Israel sebagai sebuah model perlaksanaan demokrasi sejati.[1]

Islam yang datang kepada kita melalui Nabi Muhammad SAW adalah Islam yang sangat sempurna dalam seluruh aspek kehidupan. Dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara. Mereka lebih cenderung mengambil Islam yang boleh disesuaikan dengan kehidupan mereka.

Bekas Presiden Tunisia, Habib Burgaiba dalam menggubal undang-undang mewajibkan umat Islam bekerja di dalam bulan puasa suatu ketika dahulu memanggil para ulama’ untuk mengkaji tentang keharusan berbuka puasa bagi yang bekerja nanti. Ulama’ tersebut mengatakan tidak ada keharusan untuk berbuka bagi yang bekerja di dalam bulan puasa maka ditolaknya ulama’ tadi dan dipanggil ulama’ yang lain pula. Ulama’ yang lain tersebut mengatakan harus berbuka maka ulama’ ini terus mendapat pengiktirafan daripada Habib Burghaiba.[2]

Apa yang berlaku hari ini adalah kelemahan umat Islam memahami agama Islam itu sendiri. Kegagalan ini akan membawa kepada kegagalan mereka membezakan tujuan dan cara, antara dasar-dasar hukum dengan cabang-cabangnya. Islam bersifat dengan sifat thabat dan murunnahThabat pada perkara prinsip seperti dalam soal akidah, akhlak hukum-hukum qat’ie dan murunnah pada perkara hukum-hukum syariah yang lain yang memerlukan kepada ijtihad, tajdid dan membolehkan adanya perbezaan pendapat.

Sewajarnya umat Islam meyakini hanya Islam solusi kepada permasalahan hari ini, bukan pada sosialisma, nasionalisma mahupun sekularisma. Allah SWT menyebutkan di dalam Kitab Suci Al-Quran ;

“Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan ulil amri. Kemudian, jika kamu berbeda pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah dan Rasul, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama dan lebih baik akibatnya.”
(Surah An-Nisa’ : 59)

Hanya mereka yang benar keimanan mereka kepada Allah SWT dan Hari Akhirat yang akan mengambil Islam sebagai penyelesaian kepada masalah umat hari ini. Tidak ada dolak dalik lagi. Tidak ada alasan Islam tidak sesuai dengan realiti malah sepatutnya kitalah yang menyesuaikan realiti yang ada dengan Islam. Melaksanakan Islam di segala sudut adalah kewajipan bukan suatu pilihan.

“Sama ada dilihat dari logik ‘aqidah atau logik sejarah atau kenyataan (realiti) , hukum-hukum Islam mesti dilaksanakan dan tidak ada jalan selamat bagi kita melainkan kembali kepada Islam”[3]

Hendaklah benar-benar memahami Islam daripada takrifan berpandukan  kepada Al-Quran dan As-Sunnah, barulah kefahaman dan tindakannya betul berada pada landasannya dan tidak mudah diselewengkan oleh musuh-musuh Allah SWT.

Islam juga adalah agama yang sangat menekanakan konsep keadilan yang sebenar yang tidak ditawar dalam agama lain-lain. Kisah Syurih al-Kindi, seorang hakim yang bijaksana yang mengadili kes yang berkaitan Amirul Mukmin, Saidina Ali RA. Saidina Ali RA mendakwa seorang Yahudi telah mencuri baju besi beliau. Qadhi Syurih bertanya saksi dan Saidina Ali RA mengatakan tidak ada yang mengetahui tentang baju besi melainkan anaknya. Anak tidak boleh menjadi saksi kepada bapanya maka Saidina Ali RA kalah dalam kes tersebut meskipun beliau seorang Amirul Mukminin. Sejarah dunia mana lagi yang pemerintahnya kalah dalam perbicaraan mahkamah sebegini apatah lagi dalam keadaan kuasa ditangannya? Tidak ada melainkan keadilan ini hanya ada dalam Islam!



[1] Pendidikan Harakiyyah Islamiyyah, Said Hawwa ; 91.
[2] Agama & Perjuangan, Tuan Guru Ust Fadzi Noor ; 53.
[3] Kata-kata Dr Yusuf Al-Qardhawi yang direkodkan dalam Buku Akidah & Perjuangan, Tuan Guru Ust Fadzil Noor.

Wednesday, April 25, 2012

PILIHANRAYA : KEADILAN VERSUS KEZALIMAN


Negara Malaysia hari ini mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, iaitu suatu bentuk pemerintahan yang menggunakan pungutan  suara rakyat sebagai asas dalam pemilihan kerajaannya. Ini  merupakan salah satu komponen utama dalam pengamalan demokrasi bagi mana-mana negara yang telah mencapai status kemerdekaan. Demokrasi adalah suatu ideologi politik yang menekankan kepada konsep kebebasan dan kedaulatan yang bertunas daripada fahaman liberalism itu sendiri. Pada asasnya, demokrasi mempunyai tujuh asas utama yang mesti menjadi pengamalan negara-negara demokrasi iaitulah wujudnya kebebasan bersuara, media massa yang bebas dan berkecuali, pilihan raya diadakan secara konsisten, bebas dan adil, ada kebebasan berorganisasi dan berpersatuan, pemerintahan berasaskan majoriti, hak golongan minoriti dihormati dan akhir sekali wujud badan kehakiman yang senantiasa bebas dan berkecuali.


Sebagai sebuah medan untuk meraih sokongan dan keyakinan rakyat terhadap pemimpin, pilihanraya dilihat dari sudut kaca mata Islam sebagai sebuah medan jihad kerana jihad didefinisikan sebagai melaksanakan sesuatu usaha dengan cara bersungguh-sungguh. Dalam hal ini, ianya merujuk kepada usaha untuk meninggikan kalimah Allah dan meletakkan syi’ar Islam di tempatnya yang tertinggi. Dewasa ini, pilihan raya menjadi medium yang paling tepat untuk dimanfaatkan sebagai sebuah wasilah bagi mendapatkan kuasa pemerintahan seterusnya membolehkan hukum Allah ditegakkan di atas muka bumi ini.

Sirah Rasulullah SAW pernah mengukir hakikat bahawa Baginda SAW sendiri telah mengisytiharkan jihad perang sebagai wajib kepada kaum Muslimin dalam usaha memerangi golongan kuffar, menentang kezaliman serta menegakkan keadilan sejagat. Hal ini kerana, Islam pada masa itu mendapat tentangan musuh dengan cara berperang dan mengangkat senjata. Mengambil kira konteks di Malaysia, jihad pilihan raya menjadi satu kewajipan dalam memastikan cita-cita meletakkan kalimah Allah di tempat tertinggi tercapai, yakni dengan menjadikan pilihan raya sebagai medium terpenting untuk mengembalikan keamanan, melawan kezaliman sehingga keadilan dapat dinikmati oleh masyarakat daripada semua golongan.


Merujuk kepada kaedah usul Fiqh :


ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب


“Tidak akan sempurna sesuatu yang wajib melainkan melaksanakan sesuatu perkara, maka melaksanakan perkara tersebut adalah wajib”

Wajibnya melaksanakan hukum Islam di atas muka bumi menjadi asbab kepada wajibnya untuk umat Islam menyertai pilihanraya di Malaysia, hatta di mana-mana negara yang turut mengamalkan sistem yang sama. Tugas melantik pemimpin menjadi tanggungjawab setiap rakyat marhaen kerana pemimpin memainkan peranan utama yang menyelamatkan rakyatnya daripada kebinasaan di dunia dan akhirat. Setiap pemimpin akan dipersoalkan di akhirat kelak mengenai golongan yang berada di bawah pimpinnya. Oleh itu, adalah amat penting bagi masyarakat sesebuah negara supaya sentiasa bersikap teliti dan berhati-hati dalam memilih golongan yang akan memimpin mereka kerana golongan inilah yang akan memandu mereka sama ada menuju keberhasilan atau kemusnahan.


Realiti yang sedang berlaku di Malaysia masih belum menampakkan tanda-tanda yang positif dan sinar harapan ke arah merealisasikan cita-cita meletakkan kalimah Allah di puncak tertinggi. Korupsi yang bermaharajalela baik dalam kalangan pemimpin peringkat atasan mahupun peringkat bawahan, pelanggaran syari’ah secara terang-terangan dan berleluasa, terhakisnya norma-norma masyarakat lantaran iman yang semakin menipis saban hari menyebabkan sukarnya untuk kezaliman dihapuskan dan keadilan untuk ditegakkan. Jauhnya umat Islam hari ini daripada Al-Quran dan As-Sunnah bermula daripada peringkat kepimpinan sehinggalah kepada golongan yang dipimpin menjadikan keadaan masyarakat Islam semakin genting.


Pemimpin yang zalim dan menyalahgunakan amanah yang telah diberikan serta  menindas rakyat demi memuaskan nafsu sendiri perlu digantikan dengan mereka yang benar-benar telus dan jujur untuk memimpin. Allah SWT telah memberi peringatanNya berdasarkan surah an-Nahl ayat 90 yang bermaksud ;


“Sesungguhnya Tuhan memerintahkan supaya menjalankan keadilan, berbuat kebaikan dan memberi kepada kerabat-kerabat dan Tuhan melarang perbuatan keji, perlanggaran dan penderhakaan. Dia mengajar kamu supaya kamu mengingat.”


Ayuh kembali kepada manual kehidupan dunia dan akhirat kita, al-Quran dan as-Sunnah, sebagai menyambut seruan Allah SWT agar kembali kepada keduanya jika ada perkara yang kita persilihkan. Sesungguhnya keadilan di muka bumi Malaysia ini tidak akan tertegak selagi mana al-Quran dan as-Sunnah tidak dijadikan sumber rujukan pemerintahan. Sama ada Islam memerintah atau kita akan terus dizalimi, pilihan di tangan anda.


Bantah kezaliman, tegakkan keadilan! 

IKHWANUL MUSLIMIN & MASA DEPAN MESIR.


Revolusi 25 Januari di Mesir telah menarik perhatian dunia dengan menyaksikan penggulingan Hosni Mubarak selepas hampir 30 tahun berkuasa sebagai Presiden Mesir. Asas demokrasi dan tuntutan ekonomi telah membangkitkan kesedaran rakyat Mesir untuk bangkit menumbangkan rejim yang zalim dan mengamalkan kuku besi. Hari ini Negara Mesir sekali lagi mendapat perhatian media tempatan mahupun antarabangsa ekoran dari peristiwa pemilihan Presiden Mesir yang pertama pasca revolusi.


Proses pemilihan presiden kali ini menyaksikan tumpuan diberikan kepada calon-calon yang mempunyai latarbelakang yang islamik seperti beberapa nama ‘favourite’ iaitu Dr Abdel Monem Abul Futouh (mantan pimpinan kanan Ikhwanul Muslimin), Syaikh Hazim Abu Ismail (calon Salafi) , Dr Muhammad Salem al-Ewwa (mantan setiausaha Persatuan Ulama’ Sedunia) dan juga calon dari Ikhwanul Muslimin (IM) melalui Parti Kebebasan & Keadilan  (FJP) iaitu Ir Khairat Shatir.


Ikhwan Muslimin, yang memenangi pilihanraya parlimen dengan majoriti yang besar beberapa bulan lepas telah mencalonkan Ir Khairat Shatir sebagai calon bagi jawatan presiden. Keputusan ini diumumkan sendiri oleh Mursyidul ‘Am IM, Dr Muhammad Badie’ setelah Majlis Syura IM seramai 108 orang (110 jumlah sebenar) meluluskan keputusan tersebut. Ini merupakan satu keputusan yang mengejutkan sesetengah pihak, namun bagi pihak IM sendiri, keputusan meletakkan calon mereka bertanding jawatan presiden mempunyai sebab tersendiri memandangkan keadaan Mesir sekarang ini yang masih berada di bawah kuasa Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) bukannnya diserahkan kepada rakyat lagi.


Di sebalik itu, beberapa orang kanan Hosni Mubarak telah dicalonkan sebagai Presiden Republik Mesir seperti Omar Sulaiman, Ahmad Syafiq dan Amru Musa. Masing-masing mempunyai peranan yang tertentu semasa di bawah pemerintahan rejim Mubarak dan merupakan penentang kuat kepada Islam di Mesir. Keberadaan mereka dalam senarai calon menjadikan politik di negara republik ini semakin genting.


 Perlu dimaklumi, angin perubahan di Mesir tidak dipandang enteng oleh negara-negara besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS), Israel, Eropah, Turki dan lain-lain. Perubahan pemerintahan dan dasar luar Mesir akan mempengaruhi ‘iklim’ beberapa buah negara. Israel dan AS pastinya tidak dapat duduk diam apabila menyaksikan IM memenangi majoriti kerusi parlimen Mesir yang diadakan baru-baru ini. Ini tanda awal Islam sebagai watak utama dalam pasca revolusi ini.


Jika diteliti, Israel dan AS tidak hanya bimbang pengaruh Islam akan kembali berakar di bumi anbiya’ itu tetapi dalam masa yang sama, mereka mungkin akan kehilangan ‘aset’ mereka yang paling bernilai iaitulah minyak. Terusan Suez merupakan salah satu lalu lintas mengangkut petroleum terpadat di dunia. Minyak juga merupakan senjata politik oleh negara Arab yang terlibat dalam perang Arab-Israel pada 1973-1974. Kerana itu menjadi keutamaan Israel dan AS untuk memastikan fundamental dan polisi luar negara Mesir tidak jatuh ke tangan golongan pro-Islamis.


Pemilihan Presiden Republik Mesir Mei ini akan menjadi penentu segala-galanya. Meskipun rejim zalim Hosni Mubarak telah pun tumbang beberapa bulan yang lalu, itu tidak bermakna Negara Mesir sudah pun bebas dari cengkaman musuh-musuh Islam. Majlis Perwakilan Rakyat Mesir telah mengeluarkan suatu bentuk draf menghalang konco-konco Hosni Mubarak daripada bertanding dalam pemilihan presiden kali ini namun draf itu enggan diiktiraf oleh SCAF. IM perlu mengatur strategi bagi memastikan kemenangan calon-calon pro-Islamis di Mesir atau Mesir akan kembali ke zaman kelam.


Tuesday, March 6, 2012

ANTARA PRINSIP DAN STRATEGI POLITIK



Berada di lapangan politik sememangnya memerlukan kepada ketajaman fikiran dan kekuatan mental dalam menghadapi cabaran arus semasa. Suatu ketika dahulu, musuh-musuh Islam menggunakan kekuatan fizikal dalam berdepan dengan kaum muslimin. Ternyata pendekatan ini tidak memberikan hasil pulangan yang baik kepada mereka (musuh-musuh Islam) kerana kualiti yang ada pada umat Islam ketika itu. Tindakan musuh itu boleh diibaratkan menekan bola ke dalam air,semakin kuat ditekan semakin kuat melawan ke atas.


Hari ini, mereka menggunakan peluru yang lain dalam menguasai umat Islam. Atas nama kebebasan berfikir, kebebasan bersuara, sedikit demi sedikit jarum doktrinisasi itu masuk dan meresap dikalangan anggota harakah. Mereka tidak menggugurkan perkataan Islam tetapi cukup menceraikan sedikit demi sedikit prinsip-prinsip Islam dalam gerak kerja harakiyyah.


Tidak dapat dinafikan, apabila terlibat secara langsung dalam bidang politik, memerlukan kepada perancangan-perancangan yang strategik dalam memastikan matlamat akhir perjuangan tercapai. Namun, hari ini kegagalan sekelompok manusia dalam membezakan antara prinsip dan strategi politik menyebabkan perjalanan politik mereka nampak goyah dan goyang apabila berhadapan dengan musuh.


Prinsip adalah tunjang yang pasti dan mesti menunjangi perjuangan kita. Kita ibaratkan ia sebagai akar yang teguh bagi sebuah pokok. Biarpun di sana ada badai, taufan, hujan, panas dan salji sekalipun, akar ini tetap dengan kekuatannya menunjangi pokok itu. Begitulah prinsip perjuangan, biarpun mereka membenci kita, biarpun kita ditinggalkan keseorangan, kita mesti teguh dengan prinsip Islam yang kita bawa dan tiada tawar menawar dalam soal ini.


Golongan Islam yang sebenar hendaklah mempunyai dasar yang jelas dan tegas, iaitu mentauhidkan Allah dan menyeru manusia ke arah beriman kepadanya. Membersihkan negeri dari sebarang bentuk syirik agar kalimah Allah itu benar-benar Maha Tinggi sehingga terasa kewajipan untuk menegakkannya dalam segala bidang termasuk politik, ekonomi dan lain-lainnya hendaklah berdasarkan Islam. (kitab Islam : Fikrah, Harakah dan Daulah, Tuan Guru Haji Abdul Hadi).

Sebab itu, dalam memahami prinsip perjuangan kita, kita mesti memahami hala tuju perjuangan kita. Keberadaan sebuah gerakan Islam di medan siasah bukan semata-mata berkehendakkan kepada kerajaan dan kuasa tetapi apa yang lebih penting ialah menyeru dan mengajak manusia lain kembali kepada Islam. Inilah yang membezakan kita dengan parti politik lain yang ada di Malaysia. Kita bisa menang dan kita bisa kalah dalam pilihanraya. Itulah lumrah perjuangan. Tetapi gerak kerja mengajak dan menyeru manusia kepada Allah tidak pernah putus.


Parti AK Parti di Turki sehingga hari ini masih gagal menegakkan negara Islam di Turki. Mereka dikatakan telah menandatangani perjanjian dengan pihak tentera Turki untuk tidak melaksanakan syariat Islam apabila menang. Apa perlunya kita bertungkus lumus untuk menang dalam pilihanraya jika kemenangan kita tiada manfaat pun untuk Islam?


Di samping itu, kita juga perlu terbuka dalam persoalan strategi atau pendekatan politik. Politik tidak boleh dilihat dengan bacaan tersuratnya sahaja tetapi dalam masa yang masa perlu dilihat yang tersiratnya. Sebab itu, kadang-kadang kita perlu bijak dalam membaca sepak terajang politik di setiap peringkat, sama di peringkat kampus dan di peringkat nasional.


Namun, keterbukaan ini perlu diperhalusi dan dipertimbangkan dari semua sudut. Antaranya ialah kita mesti memastikan tidak ada percanggahan dalam strategi politik dengan Al-Quran dan As-Sunnah, bercanggah dengan syariat Islam, betul dengan fiqh siyasi, maqasid syariah, qawa’id fiqhiyyah dan lain-lain. Sifat tergopoh-gapah dan tergesa-gesa menjadikan pertimbangan siasah tidak tepat dan bercanggah dengan manhaj Islam yang sebenar. Strategi politik yang bijak adalah strategi yang menepati matlamat perjuangan di samping memberi manfaat yang besar kepada Islam dan gerakan itu sendiri.


Syed Qutb pernah menyebut ;

“Sesungguhnya manusia yang paling bersemangat, berkobar-kobar dan kurang pertimbangan adakalanya merekalah orang paling pengecut, tewas dan tumpas apabila berhadapan dengan suatu yang serius dan realiti. Bahkan kadang-kadang ia menjadi sesuatu ketetapan (kaedah) kerana melonjak kehadapan, kurang pertimbangan dan terlalu bersemangat biasanya berpunca dari tidak tahu mengukur dan menilai sesuatu tanggungjawab harakah, bukan lantaran sifat berani, cekal dan keazaman yang tinggi.

Sepertimana juga ia adalah dorongan rasa kurang cekal dan tidak begitu berupaya untuk memikul kesempitan, kesakitan dan ketewasan. Ia menyebabkan mereka bergerak untuk melibatkan diri di dalam harakah, pertahanan dan kemenangan dengan apa cara sekali pun tanpa menghiraukan bebanan tugas haraki, daya ketahanan dan bentuk kemenangan. Apabila mereka berhadapan dengan cabaran ini, mereka mendapatinya ia sangat berat berbanding kemampuan mereka, lebih sukar berbanding apa yang mereka gambarkan dan mereka menjadi barisan yang pertama tewas dan tumpas.

Manakala mereka yang dapat mengawal diri, memikul kesempitan dan kesakitan untuk beberapa ketika, membuat persiapan, kenal akan hakikat bebanan harakah dan tahu menilai kemampuan diri; mereka sabar, tidak gelojoh dan bersiap sedia. Mereka yang terlalu bersemangat dan beremosi pula, menganggap itu semua suatu kelemahan dan mereka tidak ambil peduli terhadap sikap bersiap sedia dan pertimbangan terhadap segenap perkara. Pada peperangan sebenar baru jelas terbukti kumpulan manakah yang paling cekal dan yang paling berpandangan jauh.”