Negara Malaysia hari ini mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, iaitu suatu bentuk pemerintahan yang menggunakan pungutan suara rakyat sebagai asas dalam pemilihan kerajaannya. Ini merupakan salah satu komponen utama dalam pengamalan demokrasi bagi mana-mana negara yang telah mencapai status kemerdekaan. Demokrasi adalah suatu ideologi politik yang menekankan kepada konsep kebebasan dan kedaulatan yang bertunas daripada fahaman liberalism itu sendiri. Pada asasnya, demokrasi mempunyai tujuh asas utama yang mesti menjadi pengamalan negara-negara demokrasi iaitulah wujudnya kebebasan bersuara, media massa yang bebas dan berkecuali, pilihan raya diadakan secara konsisten, bebas dan adil, ada kebebasan berorganisasi dan berpersatuan, pemerintahan berasaskan majoriti, hak golongan minoriti dihormati dan akhir sekali wujud badan kehakiman yang senantiasa bebas dan berkecuali.
Sebagai
sebuah medan untuk meraih sokongan dan keyakinan rakyat terhadap pemimpin,
pilihanraya dilihat dari sudut kaca mata Islam sebagai sebuah medan jihad
kerana jihad didefinisikan sebagai melaksanakan sesuatu usaha dengan cara
bersungguh-sungguh. Dalam hal ini, ianya merujuk kepada usaha untuk meninggikan
kalimah Allah dan meletakkan syi’ar Islam di tempatnya yang tertinggi. Dewasa
ini, pilihan raya menjadi medium yang paling tepat untuk dimanfaatkan sebagai
sebuah wasilah bagi mendapatkan kuasa pemerintahan seterusnya membolehkan hukum
Allah ditegakkan di atas muka bumi ini.
Sirah
Rasulullah SAW pernah mengukir hakikat bahawa Baginda SAW sendiri telah
mengisytiharkan jihad perang sebagai wajib kepada kaum Muslimin dalam usaha
memerangi golongan kuffar, menentang kezaliman serta menegakkan keadilan
sejagat. Hal ini kerana, Islam pada masa itu mendapat tentangan musuh dengan
cara berperang dan mengangkat senjata. Mengambil kira konteks di Malaysia,
jihad pilihan raya menjadi satu kewajipan dalam memastikan cita-cita meletakkan
kalimah Allah di tempat tertinggi tercapai, yakni dengan menjadikan pilihan
raya sebagai medium terpenting untuk mengembalikan keamanan, melawan kezaliman
sehingga keadilan dapat dinikmati oleh masyarakat daripada semua golongan.
Merujuk
kepada kaedah usul Fiqh :
ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب
“Tidak akan sempurna sesuatu yang
wajib melainkan melaksanakan sesuatu perkara, maka melaksanakan perkara
tersebut adalah wajib”
Wajibnya melaksanakan hukum Islam di atas muka bumi menjadi
asbab kepada wajibnya untuk umat Islam menyertai pilihanraya di Malaysia, hatta
di mana-mana negara yang turut mengamalkan sistem yang sama. Tugas melantik
pemimpin menjadi tanggungjawab setiap rakyat marhaen kerana pemimpin memainkan
peranan utama yang menyelamatkan rakyatnya daripada kebinasaan di dunia dan
akhirat. Setiap pemimpin akan dipersoalkan di akhirat kelak mengenai golongan
yang berada di bawah pimpinnya. Oleh itu, adalah amat penting bagi masyarakat
sesebuah negara supaya sentiasa bersikap teliti dan berhati-hati dalam memilih
golongan yang akan memimpin mereka kerana golongan inilah yang akan memandu
mereka sama ada menuju keberhasilan atau kemusnahan.
Realiti yang sedang berlaku di Malaysia masih belum
menampakkan tanda-tanda yang positif dan sinar harapan ke arah merealisasikan
cita-cita meletakkan kalimah Allah di puncak tertinggi. Korupsi yang
bermaharajalela baik dalam kalangan pemimpin peringkat atasan mahupun peringkat
bawahan, pelanggaran syari’ah secara terang-terangan dan berleluasa,
terhakisnya norma-norma masyarakat lantaran iman yang semakin menipis saban
hari menyebabkan sukarnya untuk kezaliman dihapuskan dan keadilan untuk
ditegakkan. Jauhnya umat Islam hari ini daripada Al-Quran dan As-Sunnah bermula
daripada peringkat kepimpinan sehinggalah kepada golongan yang dipimpin
menjadikan keadaan masyarakat Islam semakin genting.
Pemimpin
yang zalim dan menyalahgunakan amanah yang telah diberikan serta menindas
rakyat demi memuaskan nafsu sendiri perlu digantikan dengan mereka yang
benar-benar telus dan jujur untuk memimpin. Allah SWT telah memberi
peringatanNya berdasarkan surah an-Nahl ayat 90 yang bermaksud ;
“Sesungguhnya Tuhan memerintahkan supaya menjalankan
keadilan, berbuat kebaikan dan memberi kepada kerabat-kerabat dan Tuhan
melarang perbuatan keji, perlanggaran dan penderhakaan. Dia mengajar kamu
supaya kamu mengingat.”
Ayuh
kembali kepada manual kehidupan dunia dan akhirat kita, al-Quran dan as-Sunnah,
sebagai menyambut seruan Allah SWT agar kembali kepada keduanya jika ada
perkara yang kita persilihkan. Sesungguhnya keadilan di muka bumi Malaysia ini
tidak akan tertegak selagi mana al-Quran dan as-Sunnah tidak dijadikan sumber
rujukan pemerintahan. Sama ada Islam memerintah atau kita akan terus dizalimi,
pilihan di tangan anda.
Bantah
kezaliman, tegakkan keadilan!
0 comments:
Post a Comment