Umat Islam hari ini lebih suka membuat
tafsiran dan penilaian terhadap Islam dengan hanya berpandukan kepada akal
fikiran mereka yang sangat terbatas. Maka di sana begitu banyak
tanggapan-tanggapan negatif ditampalkan kepada Islam sehingga Islam sebenar yang
turun kepada Nabi SAW terlindung dek tampalan-tampalan tadi. Apatah lagi berada
pada zaman kebebasan berfikir sehingga akal fikiran menjadi asas dalam setiap
tindakan mereka termasuk dalam perkara-perkara tetap yang berkaitan dengan
agama.
Sebahagian dari mereka menganggap
masyarakat akan menjadi mundur dan negara akan kembali menjadi miskin apabila
Islam memerintah seolah-olah di suatu sudut yang lain mereka hendak menampakkan
ada kelompangan dalam Islam yang turun daripada Allah SWT. Inilah merupakan
jarum-jarum yang sangat halus yang melanda umat Islam hari ini. Sedangkan di
dalam Al-Quran jelas menyebutkan tentang kesyumulan Islam ;
“Pada hari ini telah
Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu dan
telah Kuredhai Islam menjadi agama bagimu..”
(Surah Al-Maidah : 3)
Barangkali mereka yang mengatakan
sedimikian terlupa tentang sejarah penubuhan negara Israel. Negara Israel
ditubuhkan atas prinsip agama yang tulin tetapi tiada siapa yang mengatakan
negara Israel akan mundur kerana didirikan atas prinsip agama sebaliknya Negara
kapitalis barat memberi pula pengikitirafan kepada Israel sebagai sebuah model
perlaksanaan demokrasi sejati.[1]
Islam yang datang kepada kita melalui
Nabi Muhammad SAW adalah Islam yang sangat sempurna dalam seluruh aspek
kehidupan. Dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara. Mereka
lebih cenderung mengambil Islam yang boleh disesuaikan dengan kehidupan mereka.
Bekas Presiden Tunisia, Habib Burgaiba
dalam menggubal undang-undang mewajibkan umat Islam bekerja di dalam bulan
puasa suatu ketika dahulu memanggil para ulama’ untuk mengkaji tentang
keharusan berbuka puasa bagi yang bekerja nanti. Ulama’ tersebut mengatakan
tidak ada keharusan untuk berbuka bagi yang bekerja di dalam bulan puasa maka
ditolaknya ulama’ tadi dan dipanggil ulama’ yang lain pula. Ulama’ yang lain
tersebut mengatakan harus berbuka maka ulama’ ini terus mendapat pengiktirafan
daripada Habib Burghaiba.[2]
Apa yang berlaku hari ini adalah
kelemahan umat Islam memahami agama Islam itu sendiri. Kegagalan ini akan
membawa kepada kegagalan mereka membezakan tujuan dan cara, antara dasar-dasar
hukum dengan cabang-cabangnya. Islam bersifat dengan sifat thabat dan murunnah. Thabat pada
perkara prinsip seperti dalam soal akidah, akhlak hukum-hukum qat’ie dan murunnah pada
perkara hukum-hukum syariah yang lain yang memerlukan kepada ijtihad, tajdid
dan membolehkan adanya perbezaan pendapat.
Sewajarnya umat Islam meyakini hanya
Islam solusi kepada permasalahan hari ini, bukan pada sosialisma, nasionalisma
mahupun sekularisma. Allah SWT menyebutkan di dalam Kitab Suci Al-Quran ;
“Wahai orang-orang yang
beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan ulil amri. Kemudian, jika kamu
berbeda pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah dan Rasul,
jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama
dan lebih baik akibatnya.”
(Surah An-Nisa’ : 59)
Hanya mereka yang benar keimanan mereka
kepada Allah SWT dan Hari Akhirat yang akan mengambil Islam sebagai
penyelesaian kepada masalah umat hari ini. Tidak ada dolak dalik lagi. Tidak
ada alasan Islam tidak sesuai dengan realiti malah sepatutnya kitalah yang menyesuaikan
realiti yang ada dengan Islam. Melaksanakan Islam di segala sudut adalah
kewajipan bukan suatu pilihan.
“Sama ada dilihat dari
logik ‘aqidah atau logik sejarah atau kenyataan (realiti) , hukum-hukum Islam
mesti dilaksanakan dan tidak ada jalan selamat bagi kita melainkan kembali
kepada Islam”[3]
Hendaklah benar-benar memahami Islam
daripada takrifan berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah, barulah
kefahaman dan tindakannya betul berada pada landasannya dan tidak mudah
diselewengkan oleh musuh-musuh Allah SWT.
Islam juga adalah agama yang sangat
menekanakan konsep keadilan yang sebenar yang tidak ditawar dalam agama
lain-lain. Kisah Syurih al-Kindi, seorang hakim yang bijaksana yang mengadili
kes yang berkaitan Amirul Mukmin, Saidina Ali RA. Saidina Ali RA mendakwa
seorang Yahudi telah mencuri baju besi beliau. Qadhi Syurih bertanya saksi dan
Saidina Ali RA mengatakan tidak ada yang mengetahui tentang baju besi melainkan
anaknya. Anak tidak boleh menjadi saksi kepada bapanya maka Saidina Ali RA
kalah dalam kes tersebut meskipun beliau seorang Amirul Mukminin. Sejarah dunia
mana lagi yang pemerintahnya kalah dalam perbicaraan mahkamah sebegini apatah
lagi dalam keadaan kuasa ditangannya? Tidak ada melainkan keadilan ini hanya
ada dalam Islam!
[3] Kata-kata Dr Yusuf Al-Qardhawi
yang direkodkan dalam Buku Akidah & Perjuangan, Tuan Guru Ust Fadzil
Noor.
0 comments:
Post a Comment