Dalam
menelusuri kehidupan di dunia yang sarat dengan pelbagai permainan, hiburan,
kelekaan dan penipuan, sedar atau tidak sudah lebih separuh bulan Rejab kita
tinggalkan. Bagi para penuntut universiti, mereka masih terus mengerah keringat
menghabiskan sisa-sisa perjuangan mereka dalam peperiksaan yang masih berbaki.
Para murid sekolah dan guru tidak kurang pula meniti hari menghabiskan cuti.
Para politikus pula terus dan semakin sibuk menghitung dan
meramal tarikh pilihanraya umum bagi mempersiapkan diri. Masing-masing berusaha
untuk mempromosi premis/parti mereka. Manifesto mula direka. Pasukan siap
siaga. Tidak kurang juga semakin hebat serangan balas antara mereka.
Caci-mencaci, maki-memaki, tuduh-menuduh dan fitnah-memfitnah terus mewarnai
dada-dada akhbar, ruang siber, blog-blog dan sebagainya.
Para penyokong juga tidak ketinggalan menyatakan sokongan mereka.
Ruangan facebook kini menjadi antara senjata utama
mereka untuk turut serta mempertahankan parti yang mereka kagumi. Facebook juga
dijadikan medium untuk mereka melempiaskan perasaan terhadap parti yang tidak
sehaluan dengan mereka. Oh, alangkah ‘indah’ permainan dunia ini. Penuh dengan
gelagat manusia yang pelbagai.
Hari berganti hari dan minggu terus bertukar ganti. Umur
semakin meningkat. Tidak bisa diulang kembali. Meningkatnya umur menandakan
semakin hampirlah diri menjengah ruang pintu akhirat yang telah dijanji oleh
Pencipta hakiki. Bagaimana keadaannya saat kita meniti titian halus
siratulmustaqim? Bagaimana keadaannya tatkala segala amalan kita
dipertontonkan? Bagaimana pula saat amalan-amalan itu ditimbang Mizan?
Mulut terkunci rapat. Tangan, kaki, mata, telinga, dan
segala anggota lain memberi penyaksian. Tidak mampu untuk kita mempertahankan
diri. Segalanya telah terbongkar. Hanya menunggu keputusan sama ada diterima
olehNya menikmati haruman dan kenikmatan Syurga. Atau lebih malang dihumban dan
dibakar di Neraka Jahannam!
Namun, gelagat manusia sepertiku menjadi sedikit alpa dengan
janji ini dek kerana terleka dengan panorama ciptaan Ilahi di dunia yang
sementara. Andai Nabi Muhammad S.A.W ada di sisi, pasti tidak ada apa yang
dapat baginda banggakan dengan diri ini selaku salah seorang ummat. Hidup
seakan hanya menanti mati, tidak langsung memberi erti kepada agama yang
dianuti.
Apakah sudah tidak ada masa lagi? Tidak! Masa masih ada.
Tuhan Yang Maha Esa masih mengizinkan untuk sama-sama kita memperbaiki diri.
Nafas masih berhembus. Jantung masih berdegup. Nadi masih berdenyut. Ayuh ingat
kembali ajaran-ajaran agama. Memperkukuh kefahaman dalam beramal. Melaksana
suruhan dan meninggalkan larangan dengan sepenuh kepatuhan terhadapNya.
Amat malang andai umur sahaja yang makin meningkat, tetapi
kualiti amalan tidak ada beza dengan tahun-tahun sebelumnya.
Bagaimana untuk berubah? Oh, mudah sahaja. Bagi yang kaki berfacebook, berfacebooklah kalian
tanpa sebarang halangan. Bagi yang minat solek-menyolek, fesyen berfesyen,
nyanyian, tarian dsb, teruskan dengan minat baik anda itu. Bagi ahli-ahli
politik, peminat-peminat ahli politik dan penyokong-penyokong fanatik, teruslah
dengan kerja-kerja politik itu. Bagi peminat-peminat bola sepak yang menunggu
sepak mula EURO 2012, jangan lepaskan peluang menonton perlawanan-perlawanan
yang akan disediakan.
CUMA!
Ingin saya bawa diri saya dan tuan-tuan semua untuk kita
sama-sama kembali renungi bait-bait terakhir khutbah Nabi kesayangan kita;
“Wahai manusia, tidak ada lagi
Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru.
Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang
telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua
perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya,
nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur’an dan
Sunnahku.”
Dalam apa sahaja perlakuan kita, dalam segenap segi anggota badan
ini mahu diperguna, jadikanlah Dua Perkara ini sebagai rujukan utama. Ikut sahaja
apa yang terkandung di dalamnya. Andai dirasakan apa sahaja yang ingin dibuat
itu terpesong dari “buku panduan & rujukan” ini, tinggalkanlah.
Tidak
kiralah dalam apa bidang sekalipun. Rejab masih dalam genggaman, Syaaban terus
dinantikan. Ramadhan yang bakal menjelma terhidang dengan 1001 ganjaran. Bulan-bulan
ini kesemuanya terselit pelbagai hidangan istimewa buat orang yang beriman.
Rebutlah dengan sebaiknya. Berusahalah kita untuk berubah. Cukup mudah,
tidaklah payah.
“ Hai orang-orang beriman, tak payah nak jadi baik!”
Amirudin Ismail,
President Ma’ruf Club IIUM.
0 comments:
Post a Comment