Revolusi 25 Januari di Mesir
telah menarik perhatian dunia dengan menyaksikan penggulingan Hosni Mubarak
selepas hampir 30 tahun berkuasa sebagai Presiden Mesir. Asas demokrasi dan
tuntutan ekonomi telah membangkitkan kesedaran rakyat Mesir untuk bangkit menumbangkan
rejim yang zalim dan mengamalkan kuku besi. Hari ini Negara Mesir sekali lagi
mendapat perhatian media tempatan mahupun antarabangsa ekoran dari peristiwa
pemilihan Presiden Mesir yang pertama pasca revolusi.
Proses pemilihan presiden kali ini
menyaksikan tumpuan diberikan kepada calon-calon yang mempunyai latarbelakang
yang islamik seperti beberapa nama ‘favourite’ iaitu Dr Abdel Monem Abul Futouh
(mantan pimpinan kanan Ikhwanul Muslimin), Syaikh Hazim Abu Ismail (calon
Salafi) , Dr Muhammad Salem al-Ewwa (mantan setiausaha Persatuan Ulama’
Sedunia) dan juga calon dari Ikhwanul Muslimin (IM) melalui Parti Kebebasan
& Keadilan (FJP) iaitu Ir Khairat Shatir.
Ikhwan Muslimin, yang memenangi
pilihanraya parlimen dengan majoriti yang besar beberapa bulan lepas telah
mencalonkan Ir Khairat Shatir sebagai calon bagi jawatan presiden. Keputusan
ini diumumkan sendiri oleh Mursyidul ‘Am IM, Dr Muhammad Badie’ setelah Majlis
Syura IM seramai 108 orang (110 jumlah sebenar) meluluskan keputusan tersebut.
Ini merupakan satu keputusan yang mengejutkan sesetengah pihak, namun bagi
pihak IM sendiri, keputusan meletakkan calon mereka bertanding jawatan presiden
mempunyai sebab tersendiri memandangkan keadaan Mesir sekarang ini yang masih
berada di bawah kuasa Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) bukannnya
diserahkan kepada rakyat lagi.
Di sebalik itu, beberapa orang
kanan Hosni Mubarak telah dicalonkan sebagai Presiden Republik Mesir seperti
Omar Sulaiman, Ahmad Syafiq dan Amru Musa. Masing-masing mempunyai peranan yang
tertentu semasa di bawah pemerintahan rejim Mubarak dan merupakan penentang
kuat kepada Islam di Mesir. Keberadaan mereka dalam senarai calon menjadikan
politik di negara republik ini semakin genting.
Perlu dimaklumi, angin perubahan
di Mesir tidak dipandang enteng oleh negara-negara besar dunia seperti Amerika
Syarikat (AS), Israel, Eropah, Turki dan lain-lain. Perubahan pemerintahan dan
dasar luar Mesir akan mempengaruhi ‘iklim’ beberapa buah negara. Israel dan AS
pastinya tidak dapat duduk diam apabila menyaksikan IM memenangi majoriti
kerusi parlimen Mesir yang diadakan baru-baru ini. Ini tanda awal Islam sebagai
watak utama dalam pasca revolusi ini.
Jika diteliti, Israel dan AS
tidak hanya bimbang pengaruh Islam akan kembali berakar di bumi anbiya’ itu
tetapi dalam masa yang sama, mereka mungkin akan kehilangan ‘aset’ mereka yang
paling bernilai iaitulah minyak. Terusan Suez merupakan salah satu lalu lintas
mengangkut petroleum terpadat di dunia. Minyak juga merupakan senjata politik oleh
negara Arab yang terlibat dalam perang Arab-Israel pada 1973-1974. Kerana itu
menjadi keutamaan Israel dan AS untuk memastikan fundamental dan polisi luar negara Mesir tidak
jatuh ke tangan golongan pro-Islamis.
Pemilihan Presiden Republik Mesir
Mei ini akan menjadi penentu segala-galanya. Meskipun rejim zalim Hosni Mubarak
telah pun tumbang beberapa bulan yang lalu, itu tidak bermakna Negara Mesir
sudah pun bebas dari cengkaman musuh-musuh Islam. Majlis Perwakilan Rakyat
Mesir telah mengeluarkan suatu bentuk draf menghalang konco-konco Hosni Mubarak
daripada bertanding dalam pemilihan presiden kali ini namun draf itu enggan
diiktiraf oleh SCAF. IM perlu mengatur strategi bagi memastikan kemenangan
calon-calon pro-Islamis di Mesir atau Mesir akan kembali ke zaman kelam.
0 comments:
Post a Comment