Pages

Ads 468x60px

Tuesday, July 10, 2012

KALAU EURO KITA BEGITU, MENGAPA TIDAK RAMADHAN JUGA BEGITU...




Kalau EURO kita meneliti info-info penting tentang kejohanan, pasukan-pasukan yang bertanding, bintang-bintang bolasepak yang akan beraksi dan juga tentang venue pertandingan berlangsung.
Mengapa tidak Bulan RAMADHAN ini kita juga meneliti info-info penting tentang kelebihan Ramadhan yang mana diceritakan sehingga para sahabat RA menangis apabila Ramadhan meninggalkan mereka, info tentang kelebihan berpuasa dan sembahyang tarawikh, juga kita membelek sedikiti sebanyak fiqh tentang puasa sekadar untuk refresh hukum hakam berkaitan dengan ibadah puasa. Begitu juga tentang kelebihan membaca al-Quran dan malam Lailatul Qadr yang jelas sangat besar faedah dan kelebihannya kepada kita.

Kalau EURO kita ada countdown sebulan sebelum kejohanan bermula. Akhbar-akhbar dan juga media-media elektronik tempatan mahupun antarabangsa tidak henti-henti menayangkan iklan-iklan berkaitan dengan kejohanan sebagai suatu bentuk promosi untuk memeriahkan kejohanan 4 tahun sekali itu.
Mengapa tidak Bulan RAMADHAN ini kita juga ada countdown sebelum menjelangnya Ramadhan. Sekurang-kurangnya dengan  melakukan persediaan sedikit sebanyak dari sudut ilmu, fizikal, mental dan kewangan. Ini akan menambahkan lagi kemeriahan Ramadhan dan menjadikan kita lebih bersemangat untuk merebut segala kelebihan yang terkandung di dalam madrasah Ramadhan al-Mubarak.

Kalau EURO kita ada analisis penuh perlawanan sama ada perlawanan yang sudah pun berlangsung mahupun yang akan berlangsung. Daripada pakar-pakar bolasepak sehinggalah di kedai-kedai kopi, masing-masing berkongsi suatu cerita yang sama iaitu BOLA SEPAK.
Mengapa tidak Bulan RAMADHAN ini kita lakukan analisis ringkas tentang apa yang berlaku pada Ramadhan-Ramadhan yang berlalu, sejauh mana amalan kita, iman kita, keyakinan kita kepada Allah SWT dan ikhlas kita dalam menjalankan tugas sebagai hamba kepadaNya. Ambil sedikit masa untuk kita renung perjalanan kita yang saya kira rata-rata kita hari ini berada pada umur yang semakin matang. Apakah Ramadhan kali ini akan berlalu seperti angin yang bertiup, tidak ada kesan kepada kehidupan kita sedangkan Allah SWT sebut di dalam al-Quran kesan dari bulan yang mulia ini adalah darjat TAQWA kepada Allah?

Kalau EURO kita sanggup bangun malamn semata-mata untuk menonton pasukan kegemaran kita beraksi, malah ada dikalangan kita yang bersengkang mata menunggu sepak mula perlawanan yang bermula pada pukul 2.45 pagi. Hebat!
Mengapa tidak Bulan RAMADHAN ini kita  juga bangun malam untuk memohon sesuatu kepada Allah SWT. Hanya 2 rakaat untuk solat tahajjud yang hanya mengambil masa 5-10 minit sahaja kemudian berdoalah kepada Allah SWT, mintalah apa sahaja yang kita hendakkan, merayulah apa yang kita hendak rayu. Berdoalah moga umur kita diberkati dan mati kita dirahmati.

Sebenarnya tidak salah kita meminati sesuatu perkara dan bersusah payah kerana perkara tersebut selagi kita tidak melanggar syariat Allah SWT cuma kadang-kadang dek disibukkan perkara itu kita terlupa ada perkara yang lain yang sebenarnya sangat penting dalam kehidupan kita. Perkara tersebut tidak lain tidak bukan ialah perkara yang berkaitan dengan akhirat kita.

Dalam dunia ini perkara yang berat dan susah akan menjadi mudah dan ringan bagi kita jika minat dan sayang kepada perkara tersebut. Dengan sebab itu tidak hairanlah kita mudah untuk bangun malam tengok bola, sebab kita minat dan sayang kepada bola sepak. Minat dan sayang sebenarnya boleh merubah segalanya.

Persoalannya, ada atau tidak perasaan sayang dan minat kita kepada kehadiran Bulan Ramadhan ini? Ini yang kita perlu soal kepada diri kita dalam menghadapi Ramadhan ini. Jika tiada ada sayang dan minat, datanglah berapa kali Ramadhan pun, tidak ada kesan kepada diri kita. 

Hari ini kita berada pada penghujung Bulan Syaaban dan dalam beberapa hari lagi kita bakal menyambut Ramadhan al-Mubarak, masih sempat untuk kita melakukan persediaan ringkas supaya Ramadhan kali ini lebih membekas di hati kita.

Kehadiranmu Dinanti Ya Ramadhan!







0 comments:

Post a Comment