“Kita meyakini hukum-hakam Islam dan
pengajarannya yang syumul dan menyusun kehidupan manusia di dunia dan akhirat.
Sesungguhnya ada manusia yang menyangka pengajaran ini hanya berkaitan dengan
soal ibadat dan kerohanian serta tidak melibatkan bidang-bidang yang lain.
Mereka telah tersilap dengan sangkaan sebegini. Islam adalah aqidah dan
ibadat, tanahair dan bangsa, agama dan Negara, amal dan rohani, Al-Quran dan
‘pedang’.”[1]
Politik atau As-Siyasah juga
merupakan salah satu cabang penting dalam Islam yang semakin diketepikan
peranannya hari ini. Ini disebabkan oleh politik semasa di Malaysia yang
dicemari dengan jenayah-jenayah rasuah, bohong, seksual dan pecah amanah.
Masyarakat mula melihat politik dengan pandangan yang jijik justeru mereka mula
meninggalkan dunia politik. Ini merupakan suatu bentuk doktrinisasi kotor dari
pihak tertentu yang semestinya mahu mengekalkan kuasa mereka.
Ini kerana, apabila
masyarakat mula ‘mual’ dengan politik tanah air,sebahagian dari mereka tidak
mahu terlibat dan ambil peduli terhadap isu-isu semasa yang berlaku di
sekeliling mereka termasuk soal memilih pemerintah. Cukup dengan akademik,
kerjaya dan rumahtangga. Ini seterusnya memudahkan bagi kelompok yang berkuasa
untuk terus berkuasa kerana sikap masyarakat yang tidak lagi peduli tentang
politik semasa. Maka, proses pemurnian terhadap persepsi kepada politik mesti
dilakukan. Politik ‘rosak’ pada hari ini kerana pengamalnya dan
bukan beerti kita perlu menolaknya (politik).
Politik Dan Al-Quran
Saya memetik beberapa ayat
al-Quran yang menyimpulkan kaitan politik dengan Islam dan perlunya kepada kita
untuk berpolitik dalam menegakkan syariat Islam. Antaranya firman Allah SWT :
“Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu menyampaikan
amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila
menetapkan hukum di antara manusia ,supaya kamu menetapkan hukum dengan
adil. Sesungguhnya Allah SWT memberi pengajaran yang sebaik-baiknya
kepadamu. Sesungguhnya Allah SWT adalah Maha Mendengar lagi Maha
Melihat.”“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah SWT dan taatilah Rasul(nya),
dan ulil amri di antara kamu .Kemudian jika kamu berlainan
pendapat tentang sesuatu,maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan
Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah SWT dan
hari kemudian, yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik
akibatnya.”(Surah An-Nisa’ : 58-59)
Ayat-ayat suci Al-Quran di
atas menjelaskan kewajipan :
- Berlaku adil dengan
perintah Allah SWT dan hukumnya terhadap seluruh manusia tanpa
batas agama, bangsa, Negara dan keadaan.
- Wajib diadakan pemimpin yang
dinamakan Ulu Amri (kepimpinan negara yang beriman).
- Ketaatan rakyat kepada pemimpin
selepas dari ketaatan kepada Allah SWT dan RasulNya.
- Perlembagaan yang meletakkan
al-Quran dan Sunnah adalah hukum tertinggi.
- Kaitan politik dengan
beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat yang menjadi tunggal
penting kepada rukun iman.[2]
Perkara asas yang kita
perlu bangkitkan adalah mengenai perkaitan antara Islam dan politik. Seperti
yang disebutkan pada perenggan awal tulisan ini, Islam juga merangkumi soal
politik. Sebab itu, di dalam Al-Quran tidak hanya membicarakan soal ibadat semata-mata,
tetapi juga membangkitkan soal perundangan sepertimana ayat dari Surah
An-Nisa’ di atas.
Soal kepentingan menegakkan
keadilan dan hukumnya kepada seluruh manusia,bagaimana mahu menegakkan keadilan
Islam dan hukumnya jika kita membiarkan kezaliman yang memerintah malah
lebih buruk mengambil sikap bersekongkol dengan mereka atas tujuan-tujuan
tertentu. Ya! Politiklah yang memainkan peranan itu kerana politik adalah jalan
menegakkan syariat Islam, jalan menegakkan keadilan Islam dan jalan
meruntuhkan kezaliman. .Begitu juga soal bagaimana Allah SWT memberi
penekanan yang sangat tinggi kepada politik sehingga politik dikaitkan dengan
iman. Justeru kita boleh menilai sendiri kepentingan politik dalam Islam
sehingga menyentuh perkara dasar dalam agama.
Ini adalah beberapa
keterangan yang mengaitkan Islam dan politik yang mesti dihadami oleh setiap
muslim pada hari ini.
Politik dan Para Rasul
Dikalangan para rasul, ada
sebahagian dari mereka yang bukan hanya menjadi pemimpin agama malah pada masa
yang sama mereka adalah pemimpin sebuah negara. Antaranya Nabi Sulaiman AS dan
bapanya Nabi Daud AS, menguasai kerajaan dunia juga nabi yang terakhir, Nabi
Muhammad SAW juga merupakan pemimpin Madinah Al-Munawwarah.
Tambahan pula dikalangan
mereka ada yang menggerakkan gerakan menentang kerajaan zalim di
zaman masing-masing, ada yang mati dibunuh sehingga syahid seperti Nabi Zakaria
AS dan Nabi Yahya AS, ada yang dipenjara dan lain-lain[3].
Ini sebagai bukti kukuh, Islam yang dibawa oleh para nabi bukan hanya bercakap
soal ibadat,solat dan bukan hanya di dalam masjid tetapi merangkumi soal
perundangan, menegakkan keadilan dan meruntuhkan kezaliman.
Maka, sebagai sedikit
rumusan dalam tulisan ringkas ini ialah
- Mesti kita meyakini bahawa Islam
adalah sebuah cara hidup yang merangkumi seluruh dari aspek kehidupan
kita, tidak tertinggal walau sekecil-kecil perkara.
- Kita perlu memahami kaitan politik
dengan Islam dan kepentingannya untuk kita menguasai medan politik ini
dalam membawa aspirasi syari’at Allah SWT dalam bidang perundangan negara
khususnya.
- Jalan yang paling utama dalam
konteks menegakkan syariat Islam di Malaysia adalah melalui jalan politik.
- Politik hari ini mesti dibersihkan
dari jenayah-jenayah pihak tertentu dengan mengembalikan manusia kepada
politik yang diajar oleh Islam.
0 comments:
Post a Comment