Pages

Ads 468x60px

Friday, April 1, 2011

MUSIBAH ATAU BENCANA?



Dari perspektif Islam
Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran Al-Karim ;

“Telah tampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia ; Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka , agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah Ar-Rum : 41)
Nabi Muhammad SAW bersabda ;
“Tuhan sengaja bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan. Mereka pun bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat kurniaan, lalu Tuhan timpakan mereka secara mengejut dengan bala bencana yang membinasakan, maka mereka pun berputus asa daripada mendapat sebarang pertolongan.” (Hadis riwayat Ahmad)
Kisah kaum-kaum terdahulu sebagai pedoman

Peristiwa tsunami dan gempa bumi yang melanda Jepun baru-baru ini mengingatkan kita kepada peristiwa yang lebih dahsyat yang pernah menimpa umat-umat terdahulu. Antaranya seperti kisah yang melanda kaum Nabi Nuh AS. Kisah ini dirakamkan di dalam surah Al-Haqaat ayat ke 11-12 ;
“Sesungguhnya ketika air banjir itu melampau-lampau limpahannya, Kami telah damparkan kamu dengan selamat di dalam bahtera (Nabi Nuh) itu. Agar dengan itu Kami jadikan peristiwa tersebut sebagai teladan bagi kamu. Dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga orang-orang yang mahu menerima pengajaran”

Begitu juga sepertimana terdapat di dalam surah Hud ayat ke 40-41 ;

“Dan apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (faara at-tannur), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina) dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja.
Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: Dengan nama Allah bergerak lajunya
dan berhentinya. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. “
Kaum Nabi Nuh AS telah menderhakai dakwah yang dibawa oleh Nabi Nuh AS. Mereka bukan sahaja bersikap sombong malah bertindak biadap dengan menutup telinga ketika Nabi Nuh AS berdakwah kepada mereka. Kemudian datang perintah daripada Allah SWT supaya Nabi Nuh AS membina behtera kerana Allah SWT akan menimpakan azab kepada kaumnya yang ingkar. Allah SWT menimpakan banjir yang besar kepada mereka. Pintu-pintu langit dibuka seluas-luasnya lalu tercurahnya air dari langit dan keluar juga air dari bumi.Maka tenggelamlah kaum Nabi Nuh AS yang ingkar dengan tuhannya dalam air banjir yang menggunung itu.

Kisah-kisah kederhakaan manusia di zaman lampau ini dirakam di dalam Al-Quran supaya manusia pada hari ini mengambil pengajaran. Banyak lagi kisah-kisah yang boleh diambil pengajaran antaranya kisah Kaum ‘Ad. Kaum ‘Ad adalah kaum Nabi Hud AS yang mempunyai kemampuan membina bangunan-bangunan yang tinggi yang tidak pernah ada bangunan yang semis
al dengan mereka tetapi disebabkan mereka membelakangkan Allah SWT dalam kehidupan mereka maka mereka turut diazab oleh Allah SWT.

Persoalan-persoalan yang masih belum terjawab


Persoalan yang timbul, adakah banjir besar yang melanda kaum Nabi Nuh AS adalah semata-mata hanya bencana alam ? Apakah angin yang dingin lagi kencang yang pernah melanda Kaum ‘Ad hanya disebabkan perubahan angin monsun atau di sana ada ‘mesej’ jelas dari Allah SWT untuk manusia ? Apa pula bezanya dengan peristiwa gempa bumi 9.5 skala ritcher yang pernah melanda Chile suatu ketika dahulu ?Bagaimana dengan banjir besar yang pernah melanda Kedah dan Johor penghujung tahun lepas ? Bagaimana Tsunami yang melanda Acheh sehingga mengorbankan hampir 120 000 nyawa ? dan bagaimana pula dengan gempa bumi 8.9 skala Ritcher yang melanda Jepun baru-baru ini ? Adakah semua peristiwa ini bencana alam semata-mata ? Tepuk dada tanya iman…


Mereka yang lalai dari mengingati Allah SWT

Manusia hari ini terus menerus sibuk dengan pekerjaan mereka, sibuk dengan urusan dunia mereka sehingga mereka lupa untuk tunduk sujud mengakui kelemahan di hadapan tuhan mereka. Mereka terus tenggelam dalam kemewahan dunia. Mungkin kita termasuk dalam kelompok ini, mungkin juga tidak. Allah SWT ada berfirman :
“Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada oran yang hidup mewah di negeri itu (agar mentaati Allah SWT) , tetapi bila mereka melakukan kedurhakaan di dalam (negeri) itu, maka sepantasnya berlakulah terhadapnya perkataan (hukuman Kami), kemudian Kami binasakan sama sekali (negeri itu)” (Surah Al-Isra’ : 16)
Kelompok ini mendakwa segala kejadian yang berlaku hanya bencana alam semata-mata. Mereka akan bertungkus lumus membuktikan bahawa kejadian-kejadian yang besar ini hanya bencana alam berdasarkan kepada kajian saintifik. Mereka sedaya upaya menolak apa yang berlaku adalah dari kekuasaan dan kemurkaan Allah SWT.

Pendirian bagi mereka yang beringat
Umat Islam yang mempunyai akal yang waras perlu mengetahui dan menerima hakikat sebenar yang berlaku. Usah jadi terlalu ‘saintifik’ dalam ketika menilai sesuatu kerana sikap sebegini seolah-olah menafikan serta membelakangkan kekuasaan Allah SWT.
Ayat Allah SWT ini amat sesuai dijadikan renungan bersama ;
” Apakah penduduk negeri itu merasakan aman dari bala Allah pada waktu malam ketika mereka sedang tidur. Apakah penduduk negeri itu merasa aman dari bala Allah pada waktu pagi sedang mereka bermain atau bekerja. Apakah mereka merasa aman dari azab Allah(jadi mereka boleh hidup berseronok hingga melanggar hukum Allah). Tidaklah yang merasa aman dari azab Allah melainkan orang yang rugi.” (Al-A’raaf 98-99)
Allah SWT juga telah memberi peringatan kepada kita dalam beberapa ayat di dalam Al-Quran sepertimana Surah Al-Mulk ayat 16-18 ;
“Sudah merasa amankah kamu, bahawa Dia yang di langit tidak akan membuat kamu ditelan bumi ketika tiba-tiba ia tergoncang? Atau sudah merasa amankah kamu, bahawa Dia yang di langit tidak akan mengirimkan badai yang berbatu kepadamu ? Namun kelak kamu akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatan Ku. Dan sungguh, orang-orang yang sebelum mereka pun telah mendustakan (rasul-rasulNya). Maka betapa hebatnya kemurkaanKu! “
Juga sepertimana firman Allah SWT di dalam Surah As-Sajdah ayat 21;
“Dan pasti Kami timpakan kepada mereka sebahagian seksa yang dekat (di dunia) sebelum azab yang lebih besar (akhirat) agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”
Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, jelas kepada kita bahawasanya segala yang berlaku di alam ini ada hubungannya dengan kemurkaan dan ujian daripada Allah SWT. Banyak daripada ayat-ayat Allah SWT yang menerangkan mengenai amaran-amaran Allah SWT kepada manusia yang ingkar arahanNya dan yang lalai dari mengingatiNya.
Firman Allah di dalam Surah Ali- Imran ayat ke 190-191 perlu dijadikan pedoman dan ingatan;
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian siang dan malam terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah SWT) bagi orang-orang yang berakal. (iaitu) orang-orang yang ingat akan Allah SWT sambil berdiri , duduk atau dalam keadaan baring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “ Ya Tuhan kami,tidaklah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia ; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.”
Ayat ini menjadi prinsip asas yang jelas dalam kita menilai kejadian gempa bumi atau tsunami adalah bencana alam atau bala kepada manusia. Sesungguhnya, kejadian yang menimpa kita pada hari adalah suatu ‘mesej’ yang jelas daripada Allah SWT supaya kita kembali menginatiNya dan kajian-kajian saintifik yang dijalankan adalah sebagai nilai tambah kepada kita dalam mengenal kekuasaan dan kebesaran Allah SWT.

0 comments:

Post a Comment