Pages

Ads 468x60px

Saturday, June 9, 2012

HAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! TAK PAYAH NAK JADI BAIK


 Dalam menelusuri kehidupan di dunia yang sarat dengan pelbagai permainan, hiburan, kelekaan dan penipuan, sedar atau tidak sudah lebih separuh bulan Rejab kita tinggalkan. Bagi para penuntut universiti, mereka masih terus mengerah keringat menghabiskan sisa-sisa perjuangan mereka dalam peperiksaan yang masih berbaki. Para murid sekolah dan guru tidak kurang pula meniti hari menghabiskan cuti.

Para politikus pula terus dan semakin sibuk menghitung dan meramal tarikh pilihanraya umum bagi mempersiapkan diri. Masing-masing berusaha untuk mempromosi premis/parti mereka. Manifesto mula direka. Pasukan siap siaga. Tidak kurang juga semakin hebat serangan balas antara mereka. Caci-mencaci, maki-memaki, tuduh-menuduh dan fitnah-memfitnah terus mewarnai dada-dada akhbar, ruang siber, blog-blog dan sebagainya.
Para penyokong juga tidak ketinggalan menyatakan sokongan mereka. Ruangan facebook kini menjadi antara senjata utama mereka untuk turut serta mempertahankan parti yang mereka kagumi. Facebook juga dijadikan medium untuk mereka melempiaskan perasaan terhadap parti yang tidak sehaluan dengan mereka. Oh, alangkah ‘indah’ permainan dunia ini. Penuh dengan gelagat manusia yang pelbagai.

Hari berganti hari dan minggu terus bertukar ganti. Umur semakin meningkat. Tidak bisa diulang kembali. Meningkatnya umur menandakan semakin hampirlah diri menjengah ruang pintu akhirat yang telah dijanji oleh Pencipta hakiki. Bagaimana keadaannya saat kita meniti titian halus siratulmustaqim? Bagaimana keadaannya tatkala segala amalan kita dipertontonkan? Bagaimana pula saat amalan-amalan itu ditimbang Mizan?
Mulut terkunci rapat. Tangan, kaki, mata, telinga, dan segala anggota lain memberi penyaksian. Tidak mampu untuk kita mempertahankan diri. Segalanya telah terbongkar. Hanya menunggu keputusan sama ada diterima olehNya menikmati haruman dan kenikmatan Syurga. Atau lebih malang dihumban dan dibakar di Neraka Jahannam!
Namun, gelagat manusia sepertiku menjadi sedikit alpa dengan janji ini dek kerana terleka dengan panorama ciptaan Ilahi di dunia yang sementara. Andai Nabi Muhammad S.A.W ada di sisi, pasti tidak ada apa yang dapat baginda banggakan dengan diri ini selaku salah seorang ummat. Hidup seakan hanya menanti mati, tidak langsung memberi erti kepada agama yang dianuti.
Apakah sudah tidak ada masa lagi? Tidak! Masa masih ada. Tuhan Yang Maha Esa masih mengizinkan untuk sama-sama kita memperbaiki diri. Nafas masih berhembus. Jantung masih berdegup. Nadi masih berdenyut. Ayuh ingat kembali ajaran-ajaran agama. Memperkukuh kefahaman dalam beramal. Melaksana suruhan dan meninggalkan larangan dengan sepenuh kepatuhan terhadapNya.
Amat malang andai umur sahaja yang makin meningkat, tetapi kualiti amalan tidak ada beza dengan tahun-tahun sebelumnya.
Bagaimana untuk berubah? Oh, mudah sahaja. Bagi yang kaki berfacebook, berfacebooklah kalian tanpa sebarang halangan. Bagi yang minat solek-menyolek, fesyen berfesyen, nyanyian, tarian dsb, teruskan dengan minat baik anda itu. Bagi ahli-ahli politik, peminat-peminat ahli politik dan penyokong-penyokong fanatik, teruslah dengan kerja-kerja politik itu. Bagi peminat-peminat bola sepak yang menunggu sepak mula EURO 2012, jangan lepaskan peluang menonton perlawanan-perlawanan yang akan disediakan.

CUMA!
Ingin saya bawa diri saya dan tuan-tuan semua untuk kita sama-sama kembali renungi bait-bait terakhir khutbah Nabi kesayangan kita;
“Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur’an dan Sunnahku.”

Dalam apa sahaja perlakuan kita, dalam segenap segi anggota badan ini mahu diperguna, jadikanlah Dua Perkara ini sebagai rujukan utama. Ikut sahaja apa yang terkandung di dalamnya. Andai dirasakan apa sahaja yang ingin dibuat itu terpesong dari “buku panduan & rujukan” ini, tinggalkanlah.

Tidak kiralah dalam apa bidang sekalipun. Rejab masih dalam genggaman, Syaaban terus dinantikan. Ramadhan yang bakal menjelma terhidang dengan 1001 ganjaran. Bulan-bulan ini kesemuanya terselit pelbagai hidangan istimewa buat orang yang beriman. Rebutlah dengan sebaiknya. Berusahalah kita untuk berubah. Cukup mudah, tidaklah payah.
“ Hai orang-orang beriman, tak payah nak jadi baik!”

Amirudin Ismail,
President Ma’ruf Club IIUM.

0 comments:

Post a Comment